Sirul dipakaikan peranti pemantauan 


Bekas komando polis Sirul Azhar Umar yang dibebaskan dari pusat tahanan imigresen di Australia, dipakaikan peranti pemantauan oleh pihak berkuasa negara itu.– Gambar Youtube, 28 November, 2023.

SIRUL Azhar Umar, yang baru-baru ini dibebaskan dari pusat tahanan imigresen di Australia, dipakaikan alat pemantauan elektronik bagi membantu pihak berkuasa memantau keberadaannya, lapor FreeMalaysiaToday.

Berikutan keputusan Mahkamah Tinggi di Australia mengenai penahanan imigresen tanpa had yang menyalahi undang-undang, Sirul adalah antara 140 bukan warga Australia yang dibebaskan.

Pasukan Sempadan Australia (ABF) berkata sebahagian besar daripada mereka telah dipasang dengan peranti itu dan diletakkan di bawah perintah sekatan pergerakan.

Bagaimanapun, ABF berkata ia tidak dapat mengulas mengenai kes tertentu tetapi menurut sumber, bekas komando polis itu, adalah antara mereka yang perlu disekat pergerakan mereka.

Dalam respons e-mel kepada portal berita itu, jurucakap ABF berkata peranti pemantauan elektronik dan perintah sekatan pergerakan adalah antara keperluan dalam Akta Migrasi dan Peraturan Migrasi yang dipinda baru-baru ini.

Jurucakap itu berkata bahawa mereka yang disabitkan dengan jenayah kekerasan seperti pembunuhan, rogol dan pedofilia dikehendaki memakai peranti tersebut, mematuhi perintah sekatan pergerakan yang ketat dan mematuhi “keperluan pelaporan dan penglibatan”.

Tiada penjelasan diberikan tentang apa yang dimaksudkan dengan “keperluan pelaporan dan penglibatan”.

Jurucakap ABF menambah bahawa syarat visa mandatori yang ketat telah dikenakan untuk menyekat akses mereka untuk bekerja dengan kanak-kanak dan orang lain yang terdedah.

Berhubung sama ada kerajaan Australia sedang mempertimbangkan untuk menggunakan undang-undang keganasan ke atas mereka yang dibebaskan bagi menangkap mereka semula, jurucakap itu berkata ini aakan diputuskan kerajaan.

Menurut laporan berita Australia, kerajaan sedang mempertimbangkan untuk menggunakan undang-undang keganasan ke atas beberapa pesalah paling ganas dalam kalangan yang dibebaskan.

Sirul melarikan diri ke Australia selepas dijatuhi hukuman mati kerana salah satu jenayah paling terkenal di Malaysia namun tuntutan suakanya ditolak pada 2019, menyebabkan dia ditahan di Sydney.

Mahkamah Malaysia mensabitkan kesalahan membunuh model yang juga penterjemah Altantuya Shaariibuu dan meletupkan mayatnya dengan bahan letupan.

Altantuya adalah kekasih kepada Abdul Razak Baginda, seorang penganalisis politik Malaysia dan rakan rapat bekas perdana menteri Malaysia Najib Razak.

Pada masa pembunuhan itu, Sirul pernah menjadi anggota keselamatan polis untuk Najib, yang ketika itu memegang jawatan menteri pertahanan.

Turut disabitkan dengan Sirul ialah Azilah Hadri, yang sedang menunggu hukuman mati di Malaysia.

Anak lelaki Sirul pada Mei lalu merayu kepada kerajaan Australia untuk memberikan suaka politik kepada bapanya. Katanya, dia bimbang bapanya akan dibunuh jika dia pulang ke Malaysia.

Disebabkan undang-undang Australia yang melarang penghantaran pulang individu yang menghadapi hukuman mati di negara asal mereka, Sirul tidak tertakluk kepada pengusiran ke Malaysia. – 28 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen