Kerjasama BRI cetus peluang baharu, kata presiden Uruguay 


Presiden Uruguay Luis Alberto Lacalle Pou berkata inisiatif itu mencetuskan banyak peluang baharu dan Uruguay merupakan antara rakan kerjasama terbaik bagi China.– Gambar EPA, 28 November, 2023.

PRESIDEN Luis Alberto Lacalle Pou berkata di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) telah mencetuskan banyak peluang baharu dan Uruguay merupakan antara rakan kerjasama terbaik bagi China.

Beliau berkata China dapat memastikan keselamatan produk dan makanan manakala Uruguay boleh membekalkan produk mesra alam dan berkualiti tinggi.

“Jika melihat dari produk buatan Uruguay yang dieksport ke China dan produk buatan China yang dieksport ke Uruguay, boleh didapati bahawa kedua-dua pihak mempunyai potensi besar yang saling melengkapi. Maka, ini adalah peluang penting bagi Uruguay.

“Saya yakin, baik penduduk awam mahupun dalam kalangan ahli politik di Uruguay, beranggapan bahawa perlu memperkasa kerjasama dengan China. Kami berharap dapat mencari peluang kerjasama dengan China sepanjang pelaksanaan BRI yang menganjurkan pembinaan bersama,” kata Lacalle dalam temu bual dengan Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini.

Uruguay antara negara paling awal mengambil bahagian dalam pembinaan bersama BRI.

Menyentuh perubahan yang dibawa oleh BRI kepada Uruguay dalam tempoh sedekad lalu, Lacalle berkata ia membawa kesan positif terhadap perdagangan, pengeksportan serta hubungan antara ahli perniagaan dan politik kedua-dua pihak.

“Walaupun mengalami beberapa pentadbiran yang berbeza dalam tempoh sedekad lalu, Uruguay mengekalkan visi yang sama yang sudah dijadikan batu asas untuk mengembangkan hubungan bilateral.

“Saya menganggap kami sudah menjalinkan hubungan kerjasama yang saling percaya dan meraikan perbezaan yang wujud antara kedua-dua negara ini,” tambah beliau.

China dan Uruguay menjalin hubungan diplomatik pada tahun 1988.

Uruguay mengambil bahagian dalam pembinaan bersama BRI pada tahun 2018.

Kedua-dua negara sudah mencapai kemajuan dan hasil kerjasama yang melimpah dalam kerangka BRI melibatkan bidang sumber tenaga bersih, ekonomi, perdagangan, kerjasama kebudayaan dan sukan serta pertukaran kesenian. – Bernama, 28 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen