Penulis Ireland menang Hadiah Booker 2023 menerusi 'Prophet Song'


Penulis Ireland Paul Lynch memenangi Hadiah Booker 2023 bernilai £50,000 menerusi karyanya iaitu ‘Prophet Song’.– Gambar EPA, 28 November, 2023.

PENULIS Ireland Paul Lynch menerusi karyanya iaitu ‘Prophet Song’ telah memenangi Hadiah Booker 2023 bernilai £50,000 (AS$63,000).

Beliau adalah penulis Ireland kelima selepas Dame Iris Murdoch, John Banville, Roddy Doyle dan Anne Enright yang memenangi anugerah berkenaan, menurut Hadiah Booker.

Trofi disampaikan oleh pemenang tahun lepas Shehan Karunatilaka dalam satu majlis di Old Billingsgate, London.

Novel kelima Lynch ‘Prophet Song’ - menceritakan mengenai kerajaan yang zalim - mengisahkan seorang ibu kepada empat anak yang bekerja sebagai saintis manakala suaminya ditahan polis Ireland.

Ketua juri, Esi Edugyan menyifatkan karya itu sebagai satu “kejayaan dalam penceritaan emosi, memukau dan berani”.

Lynch menewaskan penulis Ireland lain termasuk Paul Murray yang disenarai pendek menerusi karyanya ‘The Bee Sting’. – Bernama, 28 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen