INDONESIA giat dalam usaha membangunkan pelbagai instrumen fiskal dan kewangan yang berkaitan dengan perubahan iklim seperti bon hijau dan sukuk, kata Menteri Kewangan Sri Mulyani Indrawati.
Beliau berkata sejumlah AS$5 bilion dalam bon hijau sukuk global dan 21.8 trilion rupiah (AS$1.4 bilion) bagi sukuk hijau domestik diterbitkan sejak 2018 bagi mengurangkan aspek pelepasan karbon.
“Instrumen kewangan ini berperanan penting dalam mengurangkan pelepasan itu dan menyaksikan pengurangan daripada 5.7 juta tan karbon dioksida (CO2) pada 2018 kepada 222,647 tan pada 2022,” katanya pada sesi dialog Bank Dunia mengenai Perubahan Iklim dan Masa Depan Indonesia, di Jakarta, hari ini.
Selain itu, Indonesia turut terbabit dalam usaha perkongsian pembiayaan bersepadu bagi meningkatkan pembangunan infrastruktur, selaras dengan matlamat pembangunan mampan dalam mewujudkan pelan pembiayaan yang konkrit.
“Kita akan terus bekerjasama dan terbuka kepada aspek itu kerana agenda iklim tanpa pembiayaan hanya akan kekal sebagai agenda atau impian,” katanya.
Sri Mulyani berkata Indonesia juga setakat ini mendapat sokongan kewangan daripada pelbagai negara dan Dana Iklim Hijau (GCF) yang ditubuhkan dalam Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Rangka Kerja Perubahan Iklim.
Berdasarkan data Instrumen Kewangan GCF, ia memperuntukkan AS$486 juta kepada Indonesia yang merangkumi masing-masing 23% ekuiti, 26% dalam pinjaman dan 35% dalam geran, katanya. – Bernama, 27 November, 2023.
Komen