Thailand di kedudukan terendah indeks penguasaan bahasa Inggeris


Thailand berada di kedudukan ke-101 daripada 113 negara bukan penutur asal bahasa Inggeris dan jatuh ke dalam kategori 'penguasaan yang sangat rendah'. – Gambar EPA, 27 November, 2023.

TAHAP penguasaan bahasa Inggeris Thailand adalah antara yang terendah di Asia, menurut tinjauan terkini EF English Proficiency Index (EF EPI).

Thailand berada di kedudukan ke-101 daripada 113 negara bukan penutur asal bahasa Inggeris dan jatuh ke dalam kategori “penguasaan yang sangat rendah” dengan skor hanya 416. Skor purata global ialah 502.

Di Asia, Thailand berada pada kedudukan 21 daripada 23 negara.

Di Thailand, Chiang Mai mencatat markah tertinggi dengan 464, diikuti Bangkok (457), Phuket (456) dan Songkhla (437).

EF EPI adalah berdasarkan markah ujian EF SET, ujian kemahiran membaca dan mendengar bahasa Inggeris adaptif dalam talian. Ia adalah ujian standard, berskor objektif yang dibangunkan untuk mengklasifikasikan kebolehan bahasa mereka yang mengambil ujian dalam satu daripada enam tahap yang dibangunkan dalam Rangka Kerja Rujukan Eropah (CEFR).

Lebih 2.2 juta peserta dari 113 negara di dunia menduduki Ujian Bahasa Inggeris Standard EF pada tahun 2022.

EF EPI meletakkan negara dan wilayah yang ditinjau kepada lima tahap kecekapan daripada Sangat Tinggi kepada Sangat Rendah.

Belanda menduduki tempat pertama dalam EF EPI dengan skor 647, diikuti Singapura (631), Austria (616), Denmark (615) dan Norway (614).

Di Asia, Singapura mendahului senarai, diikuti Filipina (578), Malaysia (568), Hong Kong (558) dan Korea Selatan (525).

Menurut indeks itu, secara purata Asia Selatan dan Asia Tenggara menyaksikan sedikit penurunan dalam tahap penguasaan bahasa Inggeris, walaupun banyak negara di rantau ini mempunyai skor yang meningkat stabil atau sederhana.

“Purata serantau dipengaruhi oleh tahap penguasaan bahasa Inggeris India yang telah menurun secara perlahan sejak beberapa tahun.

“Selain itu, kemajuan yang dicapai oleh Thailand sehingga 2020 merosot akibat wabak. Penguasaan bahasa Inggeris di Asia Tengah adalah rendah dan stabil dengan jurang jantina yang lebih tinggi memihak kepada lelaki di hampir setiap negara,” menurut indeks itu. – Bernama, 27 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen