MAKANAN bayi di Amerika Syarikat (AS) mungkin masih mengandungi racun perosak tetapi kurang toksik berbanding kira-kira 30 tahun lepas, menurut kajian terbaru oleh kumpulan alam sekitar bukan berasaskan keuntungan dari AS.
Kajian terbaru oleh Environmental Working Group (EWG) yang dikeluarkan pada pertengahan November lepas mendapati kira-kira 38% daripada makanan bayi konvensional atau bukan organik di AS mengandungi racun perosak.
“Sekurang-kurangnya satu sisa racun perosak dikesan dalam 22 daripada 58 makanan bayi konvensional,” kata EWG, lapor Xinhua.
EWG memberi amaran bahawa bayi dan kanak-kanak amat terdedah kepada potensi bahaya kesihatan akibat pengambilan makanan yang mengandungi sisa racun perosak pertanian.
Kumpulan itu berkata ujian dibuat ke atas produk-produk daripada tiga jenama terkenal di AS—Beech-Nut, Gerber dan Parent’s Choice.
Walaupun penemuan itu membimbangkan, EWG berkata tahap racun perosak dalam makanan bayi menurun berbanding kajian serupa yang dibuat pada 1995.
EWG berkata dalam kajian 1995, 53% daripada 72 produk makanan bayi yang diambil sampel mempunyai sisa sekurang-kurangnya satu racun perosak.
Menurut kumpulan itu, racun perosak yang ditemukan secara keseluruhannya jauh lebih beracun dan berbahaya berbanding ujian terbaru.
Menurut laporan itu, antara racun perosak yang tidak lagi didapati pada makanan bayi ialah chlorpyrifos atau pembunuh pepijat yang merosakkan otak.
Pengambilan chlorpyrifos dalam jumlah kecil mampu merosakkan kesihatan bayi dan kanak-kanak secara kekal. – Bernama, 27 November, 2023.
Komen