Parti Ennadha Tunisia desak sesi dialog demi atasi krisis politik


Parti politik terbesar Tunisia, parti Ennahda menyuarakan hasrat kepada Presiden Kais Saied untuk mengadakan sesi dialog di tengah-tengah krisis politik negara dan kegagalan sistem demokrasi. – Gambar fail EPA, 27 November, 2023.

PARTI politik terbesar Tunisia, parti Ennahda menyuarakan hasrat kepada Presiden Kais Saied untuk mengadakan sesi dialog di tengah-tengah krisis politik negara dan kegagalan sistem demokrasi.

Ahli lembaga eksekutif parti itu, Dr Ahmed Gaaloul berkata dialog dengan Saied dan pihak berkepentingan yang lain satu-satunya cara untuk mengembalikan negara ke landasan demokrasi dan kestabilan.

“Pendekatan kami adalah menerusi jalan damai. Kami telah meminta untuk berdialog dengan presiden, tetapi beliau menolak,” katanya.

Gaaloul berkata walaupun percubaan itu tidak berjaya, mereka akan meneruskan perjuangan menuntut kembali demokrasi.

“Kami percaya ada harapan. Rakyat kita berhak memperoleh masa depan yang bebas dan bermaruah,” kata bekas menteri Belia dan Sukan Tunisia itu.

Pelanggaran demokrasi

Moadh Ghannouchi, anak kepada pemimpin parti Ennadha yang dipenjarakan dan bekas Speaker Parlimen Tunisia, Rached Ghannouchi, berkata negara itu hanya mampu mengekalkan demokrasi selama 10 tahun sebelum Saied melancarkan rampasan kuasa pada Julai 2021, membolehkannya memerintah melalui dekri.

Pihak lawan menuduhnya melakukan rampasan kuasa, memusnahkan institusi negara dan menjatuhkan negara.

Presiden terbabit membubarkan Parlimen, menggantung kerajaan dan menyingkirkan mereka yang menentangnya, termasuk Ghannouchi.

Rached Ghannouchi, 82, ditahan tanpa bicara sejak April lalu atas tuduhan menghasut dan berkomplot menentang keselamatan negara dan merupakan pengkritik lantang Saied.

“Sejak itu, terdapat pelanggaran demokrasi dan ekonomi merudum.

“Kami menentang perkara ini kerana kami percaya negara dan rakyat berhak mempunyai kerajaan yang mengamalkan demokrasi dengan tadbir urus yang baik serta menghormati kedaulatan undang-undang, bukan sebuah negara yang diperintah oleh seorang lelaki,” kata Ghannouchi.

Beliau menegaskan rakyat Tunisia sedang berdepan masalah bekalan roti dan mentega yang mendesak dan masa depan yang tidak menentu.

“Mereka merasakan keadaan ketika ini tidak mampan dan tidak boleh berlanjutan. Mesti ada sesi dialog untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Pilihan raya dijangka tahun depan

Walaupun kebangkitan parti Ennahda di Tunisia diperoleh selepas revolusi Arab Spring menentang bekas presiden Zine El Abidine Ben Ali pada 2011, Gaaloul menegaskan parti itu yakin masalah dan krisis semasa yang dihadapi negara mesti diselesaikan melalui demokrasi dan aman.

Beliau menegaskan ia mesti diatasi melalui dialog dan pilihan raya.

Tunisia dijangka mengadakan pilihan raya umum pada suku terakhir 2024.

Gaaloul menjangkakan pilihan raya akan diteruskan seperti dirancang kerana Saied ingin mendapat mandat kuat bagi mengesahkan pemerintahannya.

“Persoalannya sekarang adakah pilihan raya itu akan berjalan dengan adil dan saksama secara demokrasi?” katanya. – Bernama, 27 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen