KUMPULAN pejuang Hamas membebaskan kumpulan ketiga tebusan termasuk seorang kanak-kanak perempuan Amerika Syarikat berusia empat tahun semalam sebagai pertukaran dengan kumpulan baharu tahanan Palestin pada hari ketiga gencatan senjata, menurut sumber.
Pembebasan tebusan dibuat selepas gencatan senjata selama empat hari yang bermula Jumaat melegakan keluarga mangsa sejak operasi ketenteraan pada 7 Oktober.
Pegawai Israel berkata seramai 17 tebusan selamat dipulangkan selepas pembebasan terbaru.
Bersama 13 warga Israel, empat lagi termasuk tiga warga Thailand dibebaskan.
Hamas berkata seorang warga Rusia-Israel, Ron Krivoy dibebaskan sebagai tanda terima kasih di atas usaha Presiden Rusia Vladimir Putin dan sokongannya terhadap perjuangan Palestin.
Mereka yang dibebaskan adalah antara kira-kira 240 orang yang ditangkap pada 7 Oktober lepas.
Israel melancarkan serangan darat untuk memusnahkan Hamas, membunuh hampir 15,000 orang yang kebanyakannya orang awam termasuk beribu-ribu kanak-kanak, menurut kerajaan Hamas di Gaza.
Jumlah keseluruhan rakyat Israel yang dibebaskan di bawah perjanjian itu kini seramai 39 orang sejak Jumaat.
Sebagai pertukaran, 39 lagi banduan Palestin dibebaskan semalam, kata perkhidmatan penjara Israel, selepas pembebasan 78 banduan Palestin lain dari penjara Israel sejak dua hari lalu.
Pada Jumaat Hamas membebaskan 10 lagi warga Thailand dan seorang Filipina. – AFP, 27 November, 2023.
Komen