TENTERA India membawa masuk peralatan khusus pada Ahad bagi mengeluarkan 41 pekerja yang terperangkap di dalam terowong di Himalaya, Uttarakhand ketika usaha menyelamatkan mereka memasuki minggu ketikga.
Kerja-kerja penggalian diteruskan dalam tiga arah meskipun operasi menyelamat terhenti seketika susulan halangan.
Tentera udara India berkata mereka “segera” menerbangkan muatan ketiga untuk operasi menyelamat sejak sebahagian terowong di Jalan Silkyara yang sedang dalam pembinaan itu runtuh pada 12 November lalu.
Pegawai penyelamat berkata mereka meminta pemotong plasma untuk dibawa ke lokasi terpencil itu selepas jurutera yang mengendalikan paip logam secara mendatar melalui 57 meter dan konkrit merempuh galang logam dan kenderaan pembinaan yang tertimbus.
Sebuah mesin penggerudi gergasi terhenti hanya sembilan meter dari kawasan yang dituju.
Pemotong plasma akan digunakan untuk mengeluarkan gerudi dan logam yang menghalang laluan, sebelum penggalian akan diteruskan dengan tangan.
Tentera udara berkata kit “kritikal” itu datang daripada Pertubuhan Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan negara, cabang penyelidikan teknologi pertahanan kerajaan, tanpa memberikan butiran lanjut.
Penggerudian menegak juga mula menggali lubang 89 meter ke bawah bagaimanapun ia berisiko kerana kawasan itu sudah mengalami keruntuhan.
Kerja-kerja juga sudah bermula dari bahagian dalam terowong, laluan ketiga yang lebih panjang dianggarkan sekitar 480 meter.
Ketua Menteri Uttarakhand Pushkar Singh Dhami Ahad ketika melawat rumah salah seorang pekerja yang terperangkap memberitahu keluarga tentang usaha yang dilakukan untuk menyelamatkan mereka.
“Kami sedang berusaha dengan sepenuh tenaga untuk mengeluarkan semua pekerja dengan selamat,” katanya dalam catatan di media sosial. – AFP, 26 November, 2023.
Komen