SETIAUSAHA Agung DAP Anthony Loke mengingatkan anggota parti itu khususnya di peringkat negeri dan akar umbi di Selangor untuk sentiasa bekerjasama dengan pihak berkaitan, dalam memastikan dasar serta perkhidmatan kerajaan sampai kepada rakyat.
Malah Loke memberi amaran bahawa beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli majlis daripada parti itu dengan mengarahkan mereka meletakkan jawatan sekiranya masih enggan bekerjasama.
“Ada kawasan ahli majlis tidak boleh kerjasama dengan ketua kampung. Ketua kampung gaduh dengan ahli majlis. Ahli majlis tidak mahu duduk dengan Adun. Ini amaran terakhir saya.
“Kalau mana-mana ahli majlis dengan Adun, dengan ketua kampung tidak boleh kerjasama, tak boleh kerjasama, letak jawatan sahaja. Kalau tidak letak jawatan, saya buang sahaja,” katanya dalam ucapan perasmian Konvensyen Tahunan Negeri DAP Selangor 2023 di Shah Alam, hari ini yang dihadiri kira-kira 600 perwakilan seluruh negeri.
Loke yang juga Menteri Pengangkutan menyifatkan masalah berkenaan sebagai ‘sindrom penyakit dalam kerajaan’ dan jelasnya perkara itu tidak harus terjadi memandangkan DAP sudah empat penggal menjadi sebahagian daripada kerajaan di Selangor.
“Kalau masalah ini tidak boleh selesai macam mana kita nak jadi kerajaan. Jadi kepada kepimpinan (DAP) Selangor, perkara ini tidak boleh ditoleransikan lagi kerana ini penyakit dalam kerajaan.
“Jangan biarkan masalah seperti ini menjadi satu faktor negatif pada pencapaian kita. Semua pihak walau apa jawatan, mesti ada semangat kerjasama dalam parti,” katanya.
Loke turut mengingatkan Adun daripada parti itu untuk sentiasa melaksanakan tugas dengan adil serta membina hubungan dan pasukan baik dengan akar umbi.
Sementara itu, dalam sidang media, Loke menolak dakwaan kononnya jika DAP lebih kuat, kuasa politik orang Melayu akan terhakis serta parti itu dapat melaksanakan persempadanan semula.
Beliau berkata dakwaan yang sering diulang-ulang oleh pembangkang merupakan hujah yang tidak bertanggungjawab dan disifatkannya sebagai menipu.
“Yang pertamanya, secara logik macam mana dengan hanya 40 kerusi (Parlimen) DAP boleh meminda perlembagaan. Meminda perlembagaan memerlukan 148 undi dalam Parlimen. DAP bertanding pun tak sampai 50 kerusi.
“Yang kedua, apa sahaja keputusan dalam Kabinet dan Jemaah Menteri, ia mesti berlandaskan suatu keputusan bersama dan kolektif. DAP hanya ada empat wakil dalam Kabinet. Jadi tidak munasabah dan tidak adil buat dakwaan kononnya DAP boleh menguasai dan buat segala keputusan,” katanya. – Bernama, 26 November, 2023.
Komen