9 maut di Mexico kerana konflik berebut tanah


Konflik antara komuniti berkaitan pemilikan tanah pertanian menjadi masalah sejak berdekad lamanya di Mexico, terutamanya di kawasan Orang Asli di selatan negara itu. – Gambar EPA, 26 November, 2023.

SEMBILAN orang terbunuh semalam selepas seorang penembak melepaskan tembakan ke arah sebuah trak di negeri Oaxaca, Mexico, kata pejabat pendakwaraya tempatan yang memberi petunjuk ia berpunca daripada konflik berkaitan tanah yang mencetuskan keganasan.

Penembak menembak trak yang membawa orang dari Santiago Mitlatongo ke bandar Nochixtlan, di mana mereka “diserang”, kata pendakwaan dalam kenyataan.

“Ini menyebabkan sembilan orang mati serta merta,” sementara empat yang lain- tiga wanita dan seorang lelaki- cedera dan dibawa ke hospital untuk rawatan, tambah kenyataan.

Pendakwaan masih menyiasat untuk menentukan identiti penembak.

“Kelakuan ganas antara komuniti tidak menyumbang kepada penyelesaian masalah. Sebaliknya ia membawa kesumat,” kata pejabat pendakwaan, tanpa memberikan butiran jelas tentang konflik itu.

Serangan semalam adalah yang kedua berlaku berkaitan konflik pemilikan tanah di Oaxaca.

Rabu lepas, lima orang maut- seorang awam, dua anggota polis dan dua pegawai majlis perbandaran- selepas pertempuran serupa berlaku antara penduduk San Miguel El Grande dan Llano de Guadalupe.

Konflik antara komuniti berkaitan pemilikan tanah pertanian menjadi masalah sejak berdekad lamanya di Mexico, terutamanya di kawasan Orang Asli di selatan negara itu. – AFP, 26 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen