POLIS China membuka kertas siasatan ke atas Zhongzhi Enterprise Group selepas gergasi kewangan terbeban hutang itu mengisytiharkan dirinya muflis.
Polis di Beijing, di mana terletaknya ibu pejabat syarikat itu, berkata pada malam Sabtu yang mereka sudah membuka kertas siasatan berkaitan “dakwaan kesalahan” yang tidak dijelaskan, menambah yang mereka sudah melaksanakan beberapa tindakan terhadap beberapa orang suspek.
Zhongzhi mengisytiharkan dirinya muflis pada Rabu dengan hutang mencecah AS$66 bilion, menurut surat dihantar kepada pelabur yang dipetik media tempatan.
Ketika zaman emas sektor hartanah China, ramai pemaju menggunakan khidmat Zhongzhi untuk membiayai projek mereka.
Syarikat itu menguruskan aset bernilai lebih satu trillion yuan (AS$141 bilion), menurut bank pelaburan Nomura.
Tetapi kumpulan itu terkesan dengan krisis hartanah China, menyebabkan ia tidak mampu membayar keuntungan kepada pelaburnya.
Kemuflisan Zhongzhi mencetuskan kebimbangan wujudnya kesan kepada sistem kewangan China susulan kejatuhan pemaju hartanah utama, Evergrande, yang sehingga kini kesannya dirasai oleh sektor hartanah dan ekonomi negara itu. – AFP, 26 November, 2023.
Komen