SATU kumpulan bersenjata etnik minoriti di Myanmar berjaya merampas kuasa pentadbiran daripada junta tentera di sempadan mewah dagang melintasi China, kata media tempatan dan sumber pasukan keselamatan pada Ahad.
Pertempuran berlaku di seluruh negeri Shan, utara Myanmar, yang berhampiran sempadan China, selepas satu pasukan bersenjata terdiri daripada tiga kumpulan etnik minoriti menyerang tentera pada Oktober.
Kumpulan itu merampas berpuluh kedudukan tentera dan bandar penting untuk perdagangan dengan China, sekaligus menjerat laluan perhubungan perdagangan junta tentera yang semakin tertekan dengan beban kewangan.
Serangan yang dibuat Tentera Bersekutu Demokratik Nasional Myanmar (MNDAA)- salah satu daripada tiga kumpulan itu- berjaya menawan pintu sempadan Kyin San Kyawt, lapor media tempatan yang bersekutu dengan kumpulan itu.
“MNDAA juga melaporkan yang mereka menawan satu lagi pintu sempadan, yang dikenali sebagai Kyin San Kyawt, di kawasan Mongko, wilayah Muse pagi tadi,” lapor akhbar Kokang pada Ahad.
Ia menambah, gabungan itu yang turut melibatkan Tentera Arakan (AA) dan Tentera Pembebasan Nasional Ta’ang (TNLA) juga menawan kedudukan lain di zon perdagangan sempadan selepas serangan bermula Jumaat lepas.
MNDAA juga sudah menaikkan bendera mereka di Kyin San Kyawt, kata sumber pasukan keselamatan kepada AFP.
Pintu sempadan itu dibuka semula pada 2022 selepas pandemic, ia adalah laluan perdagangan utama di sempadan Myanmar-China.
Awal minggu ini, jurucakap junta Zaw Min Tun memberitahu media negara itu sekitar 120 trak diletakkan di sempadan telah dibakar dan menyalahkan pasukan pemberontak bersenjata.
Konflik itu memberi kesan buruk kepada ekonomi Myanmar yang sudah sedia terjejas, serta memberi kesan kepada perdagangan lintas sempadan dan menutup sumber cukai dan perdagangan asing yang sangat diperlukan junta tentera.
Rakyat tempatan melaporkan yang antara barangan yang melintasi Kyin San Kyawt termasuklah jentera, barangan elektronik, traktor pertanian dan barangan pengguna. – AFP, 26 November, 2023.
Komen