Ribuan rakyat Itali protes keganasan terhadap wanita


Sebanyak 106 kes femicide direkodkan pada tahun 2022 dan sejumlah 139 kes pada 2021 manakala 116 kes pada 2020 di Itali. – Gambar AFP, 26 November, 2023.

BERIBU-RIBU orang turun ke jalan raya di seluruh Itali pada Sabtu untuk meraikan sambutan Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Keganasan Terhadap Wanita, lapor Xinhua.

Sekurang-kurangnya 50,000 peserta didaftarkan di Rom manakala 30,000 lagi di Milan, menurut pihak berkuasa dan media tempatan.

Negara itu masih terkejut dan terkesan dengan pembunuhan seorang pelajar perempuan berusia 22 tahun pada 11 Nov lepas dalam kes femicide baru-baru ini.

Femicide merujuk kepada pembunuhan wanita berikutan jenayah kebencian berdasarkan jantina.

Bekas kekasihnya kemudian mengaku melakukan jenayah berkenaan selepas ditangkap oleh polis.

Wanita itu adalah mangsa ke-106 kes femicide di Itali setakat 11 November tahun ini, menurut Kementerian Dalam Negeri.

Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni berjanji untuk melancarkan kempen kesedaran baharu di sekolah untuk memberikan pendidikan emosi kepada pelajar selain mengetatkan lagi undang-undang terhadap keganasan jantina.

Menurut statistik rasmi, sebanyak 106 kes femicide direkodkan pada tahun 2022 dan sejumlah 139 kes pada 2021 manakala 116 kes pada 2020. – Bernama, 26 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen