PKR Sarawak gesa langkah proaktif semai perpaduan akar umbi dengan kerajaan negeri


Diyana Ibrahim

Perwakilan PKR Sarawak menggesa kerajaan pusat mengambil langkah proaktif menyemai perpaduan antara pemimpin akar umbi PKR peringkat negeri dan kerajaan negeri. – Gambar Facebook, 26 November, 2023.

KERJASAMA dalam kerajaan perpaduan hanya berlaku di peringkat pimpinan pusat dan negeri tapi ia tidak melibatkan parti politik akar umbi, kata pewakilan PKR Sarawak, Khushairy Pangkas.

Beliau berkata di Sarawak pimpinan akar umbi PKR tidak merasai berlakunya kerjasama dengan kerajaan negeri. 

Beliau menyatakan kebimbangan terhadap situasi itu dan menggesa kerajaan pusat mengambil langkah proaktif menyemai perpaduan antara pemimpin akar umbi PKR peringkat negeri dan kerajaan negeri.

“Perpaduan politik kita nampaknya memang stabil tapi merujuk di Sarawak bagaimanakah kerjasama perpaduan itu.

“Apa yang kita nampak rakan Gabungan Parti Sarawak dan PKR perpaduannya belum ada. Yang ada hanya pimpinan pusat dan negeri,” katanya semasa sesi perbahasan Kongres PKR di Pusat Konvesyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Pada masa sama beliau turut menyentuh isu program Krismas berhubung pengecualian lagu “O Holy Night” di Sarawak.

Perkara itu menyebabkan Persatuan Gereja-Gereja Sarawak (ACS) menarik diri daripada program tersebut.

Khusyairy berkata jika pihak penerangan pusat lambat membuat penjelasan ia boleh mengeruhkan kerjasama dalam kerajaan perpaduan.

“Isu yang hangat di Sarawak selama ini ialah isu keagamaan. Terkini, isu penganjuran malam ‘O Holy Night’,” katanya.

“Itu adalah isu agama yang digembar-gemburkan di Sarawak. Ia boleh mengeruhkan perpaduan di Sarawak,” katanya. – 26 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen