Bangladesh tahan pelarian Rohingya dalam perjalanan ke Indonesia


POLIS BANGLADESH menghentikan dan menahan pelarian Rohingya yang hendak berlayar ke Indonesia, kata pegawai semalam.

Difahamkan beratus-ratus minoriti Myanmar melarikan diri sehingga ada yang membayar AS$1,000 (RM4,684.50) untuk menaiki bot.

Bangladesh adalah rumah kepada satu juta pelarian Rohingya kebanyakannya beragama Islam yang majoritinya melarikan diri daripada tentera Myanmar.

Keadaan di kem bantuan yang penuh sesak, berbahaya dan kekurangan sumber adalah sukar serta pelarian berkata keadaan semakin teruk disebabkan pemotongan bantuan makanan, pertempuran maut dan kekurangan pekerjaan.

Kumpulan penyeludup manusia menawarkan ratusan orang Rohingya menaiki bot menuju ke Malaysia dan Indonesia, kata pegawai polis kepada AFP.

Bulan ini menyaksikan peningkatan dalam perjalanan ke wilayah Aceh di Indonesia dengan lebih 1,000 ketibaan dalam gelombang seumpama itu terbesar sejak tindakan keras 2017.

Polis berkata mereka menghentikan dan menahan 58 warga Rohingya pada malam Jumaat apabila mereka dilaporkan meninggalkan kem menuju menaiki bot di Teknaf, sebuah pelabuhan sungai Bangladesh di seberang sempadan Myanmar.

“Antara yang ditahan ialah sembilan lelaki, 16 wanita dan 33 kanak-kanak. Kami menahan dua penyeludup manusia Bangladesh yang didakwa membawa mereka keluar.

“Mereka bersedia untuk berlayar dengan bot dari Teknaf dan akan ke Indonesia dan Malaysia,” kata Ketua Balai Polis Teknaf, Osman Goni kepada AFP semalam.

Beberapa pelarian Rohingya yang ditahan polis memberitahu AFP mereka membayar sekitar AS$1,000 setiap seorang untuk perjalanan bot ke Indonesia.

“Mereka (pemerdagang) menahan kami di sebuah rumah, dan berkata mereka akan menghantar kami ke Indonesia menaiki bot pada hari berikutnya,” kata Selim Ullah, seorang pelarian Rohingya berusia 22 tahun.

Isteri dan anak perempuan Ullah turut ditahan polis. – AFP, 26 November 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen