4 maut, puluhan cedera dalam rempuhan di selatan India


Gbenor Kerala Arif Mohammed Khan berkata beliau sangat terkejut dan berdukacita apabila mengetahui tentang kematian menyedihkan empat pelajar di CUSAT. – Gambar AFP, 26 November, 2023.

SEKURANG-KURANGNYA empat orang terbunuh dan berpuluh-puluh cedera petang semalam dalam rempuhan di sebuah universiti di selatan India, lapor pegawai dan media tempatan.

Rempuhan itu berlaku di auditorium luar di Universiti Sains dan Teknologi Cochin (CUSAT) di barat daya Kerala.

Dalam satu kenyataan di X, sebelum ini dikenali sebagai Twitter, gabenor Kerala Arif Mohammed Khan berkata beliau sangat terkejut dan berdukacita apabila mengetahui tentang kematian menyedihkan empat pelajar di CUSAT.

“Takziah kepada keluarga mereka. Didoakan agar mereka yang cedera cepat sembuh,” tambahnya.

Menteri Kesihatan Negeri Veena George dalam satu kenyataan berkata empat mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kolej Perubatan Kalamassery manakala empat lagi dalam keadaan kritikal dan lebih 60 orang cedera, lapor agensi berita PTI.

Seorang pegawai polis tempatan berkata orang ramai di luar auditorium bergegas mencari perlindungan daripada hujan lebat sebelum secara tiba-tiba beberapa mangsa tergelincir di tangga dan kemudiannya dipijak, menurut PTI.

Salah satu rempuhan paling maut dalam sejarah baru-baru ini berlaku sedekad lalu di India apabila sekurang-kurangnya 115 orang terbunuh ketika program keagamaan di Madhya Pradesh. – AFP, 26 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen