Anwar hargai kesetiaan rakan dalam kerajaan perpaduan


Anwar Ibrahim berucap pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 yang dihadiri 2,734 perwakilan dan 1,500 pemerhati di PICC, Putrajaya malam ini. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 25 November, 2023.

PARTI politik yang membentuk kerajaan perpaduan menolak dengan tegas segala percubaan pembangkang untuk “menebuk atap” dalam usaha meruntuhkan kerajaan hari ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Presiden PKR berkata, malahan pimpinan parti politik itu kekal setia dengan prinsip dan tatakelola pentadbiran baik selama setahun.

“Satu tahun berlalu. Pada peringkat awal, bulan-bulan awal, memang sedikit terumbang-ambing kerana sentiasa ada percubaan mengintai, mengintip dan mendesak untuk mengulangi amalan ‘tebuk atap’... kesetiaan sahabat-sahabat teruji,” katanya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di Putrajaya, malam ini.

Malam ini, Anwar menyatakan penghargaan beliau di atas kemuafakatan dan kesetiaan rakan dalam kerajaan perpaduan biarpun mereka berhadapan cabaran untuk menangkis dan mematahkan percubaan daripada pihak tertentu untuk mengambil alih kerajaan termasuk ada yang dipelawa menjadi perdana menteri.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2023 yang dihadiri 2,734 perwakilan dan 1,500 pemerhati, serta pimpinan utama parti gabungan kerajaan perpaduan dan perwakilan kedutaan asing.

Sehubungan itu, Anwar merakamkan penghargaan kepada pimpinan parti komponen kerajaan perpaduan dan Jemaah Menteri kerana terus setia untuk memastikan kerajaan ketika ini kekal inklusif dan mewakili semua kaum serta wilayah.

“Pelbagai telahan dan tohmahan dilontarkan, saya ingin tegaskan semula dalam perundingan awal (kerajaan perpaduan) yang ditekankan adalah prinsip dan hala tuju negara, tatakelola yang baik, membanteras rasuah, memacu pertumbuhan ekonomi.

“Ini dasar dan saya ucapkan terima kasih kepada rakan kerana setia dengan prinsip ini,” katanya.

Sementara itu, Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata kerajaan perpaduan juga tidak akan “tergopoh-gapah” dalam melaksanakan agenda reformasi kerana mengambil pendekatan daripada sejarah dunia dan pengalaman PH pada 2018.

“Walaupun terdapat golongan elit berkata kita perlahan dalam kemajuan reformasi tetapi percayalah, belajar daripada pengalaman yang lalu. Kalau kita gopoh, baik dalam soal pelaksanaan Islam atau dalam pelaksanaan agenda reformasi ini, kita akan ditolak rakyat,” katanya. – Bernama, 25 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen