Akaun FB palsu, calon BN lapor MCMC


Calon BN Raja Mohamed AFfandi Raja Mohamed Noor terpaksa membuat laporan kepada MCMC susulan wujud akaun Facebaook palsu menggunakan namanya. – Gambar Facebook, 25 November, 2023.

KEMPEN Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang memasuki “separuh masa kedua” hari ini dicemari dengan kemunculan akaun Facebook palsu calon Barisan Nasional (BN).

Calon BN, Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata akaun palsu berkenaan menggunakan gambarnya atas nama Raja Affandi, berbanding akaun rasminya yang menggunakan nama Raja Mohamed Affandi.

“Sekarang ini tular akaun Facebook palsu menggunakan nama dan gambar saya dengan macam-macam hantaran yang memaki dan tidak elok.

“Tidak pernah lagi keluar perkataan sebegitu daripada saya,” kata bekas Panglima Angkatan Tentera itu ketika ditemui selepas menyantuni peniaga dan pengunjung Pasar Binjai di Chukai, Terengganu hari ini.

Susulan itu, katanya satu laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dibuat untuk tindakan lanjut.

Raja Mohamed Affandi berkata, beliau tidak mahu menuduh sesiapa sebagai dalang di sebalik perkara itu, namun menyeru pengguna media sosial supaya memastikan setiap maklumat yang diterima secara dalam talian itu benar-benar sahih.

Mengenai perjalanan kempennya yang masuk hari kelapan hari ini, beliau berkata perubahan positif dalam kalangan pengundi dapat dirasakan berdasarkan pertemuannya dengan mereka setakat ini.

“Selera pengundi nampaknya dah lain, dah berubah. Ada kematangan dalam berfikir, melihat apa yang perlu, apa yang wajib, apa yang harus dibuat.

“Saya lihat kita (BN) mempunyai kebarangkalian yang agak tinggi sekarang untuk meraih kemenangan, tetapi kita tak nak terlebih yakin dan perlu teruskan bekerja kuat,” katanya.

PRK Parlimen Kemaman menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Raja Mohamed Affandi dan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 2 Disember ini bagi hari mengundi untuk PRK Kemaman yang perlu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada 26 September lalu membatalkan kemenangan calon PAS Che Alias Hamid pada Pilihan Raya Umum ke-15. – Bernama, 25 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen