Kes tipu cukai, Shakira bayar 6.6 juta euro kepada mahkamah Sepanyol


Shakira berdepan dua kes penipuan cukai dibawakan pendakwaraya Sepanyol. – Gambar AFP, 25 November, 2023.

BINTANG Colombia Shakira membayar 6.6 juta euro (AS$7.2 juta) kepada mahkamah Sepanyol yang menyiasat kes cukai tidak berbayarnya, kata ejennya pada Jumaat, beberapa hari selepas beliau mencapai persefahaman bagi mengelak perbicaraan dalam satu lagi kes percukaian.

Pendakwaraya Sepanyol pada Julai lalu membuka kes kedua terhadap penyanyi berusia 46 tahun itu, menuduhnya menggunakan rangkaian syarikat, sebahagiannya ditubuhkan di kawasan bebas cukai, untuk menipu pejabat percukaian Sepanyol sebanyak 6.6 juta euro pada 2018, jumlah itu termasuk faedah dan penyelarasan.

Shakira membayar jumlah itu di mahkamah pada Ogos, kata agensi yang mewakilinya kepada AFP, mengesahkan laporan akhbar El Periodico.

Bayaran 6.6 juta euro itu tidak menggambarkan penyanyi itu bersalah atau tidak dalam kes tersebut, tetapi ia adalah “demonstrasi beliau tentang kesediaannya membayar semula kemungkinan hutang kepada pihak berkuasa cukai Sepanyol,” kata akhbar.

Dalam kes berlaina, penyanyi “Hips Don’t Lie” itu pada Isnin turut mencapai persefahaman dengan pendakwaraya Sepanyol bagi mengelak perbicaraan untuk dakwaan penipuan cukai pendapatan yang diperolehinya antara 2012 dan 2014.

Sebahagian perjanjian itu menyebut yang Shakira bersetuju membayar denda sebanyak 7.3 juta euro atau 50% jumlah cukai tidak berbayar.

Beliau sudah membayar 17.45 juta euro kepada pihak berkuasa Sepanyol bagi menyelesaikan kes penipuan cukai melibatkan dirinya.

Penyanyi itu yang sebelum ini menolak tawaran penyelesaian pendakwaraya dalam satu kenyataan berkata beliau akhirnya bersetuju “kerana memikirkan kepentingan terbaik untuk anak-anaknya yang tidak mahu melihat ibu mereka mengorbankan kesejahteraan diri dalam pertikaian ini”.

Shakira berpindah ke Miami dengan dua anak lelakinya pada April selepas bercerai dengan bekas pemain bola sepak terkenal FC Barcelona Gerald Pique. – AFP, 25 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen