Bertambah sihat, Zahid kembali bertugas dalam masa terdekat, kata PM


Gambar Anwar ketika melawat Zahid yagn dikongsi di Facebook, hari ini. – Gambar Facebook, 25 November, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim hari ini memaklumkan tahap kesihatan timbalannya Ahmad Zahid Hamidi kini bertambah baik dan akan kembali memulakan tugas dalam masa terdekat.

Berucap merasmikan Karnival Usahawan Desa KUD@Putrajaya 2023 di sini, Anwar berkata beliau sempat menziarahi Ahmad Zahid di kediamannya sebelum hadir merasmikan karnival berkenaan.

“Saya ingin menyampaikan salam daripada Ahmad Zahid yang sekarang Alhamdulillah bertambah sihat.

“Kalau ikutkan dia nak datang, tetapi saya bagi arahan tak boleh hadir sebab dia perlu masa untuk berehat sedikit,” katanya.

Khamis lepas, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah telah memuat naik catatan di Facebook rasminya bagi memaklumkan beliau dalam tempoh berehat selepas selesai menjalani satu prosedur pembedahan pada 16 November lepas. – Bernama, 25 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen