KEPUTUSAN Muhyiddin Yassin untuk tidak mempertahankan jawatan presiden pada pemilihan parti ditolak sebulat suara oleh Perhimpunan Agung Bersatu.
Keputusan menolak hasrat Muhyiddin yang juga wakil rakyat Pagoh itu diumumkan Pengerusi Tetap Bersatu Suhaimi Abdullah selepas perwakilan yang membahaskan ucapan presiden berulang kali mendesak Muhyiddin menarik balik keputusannya itu.
Suhaimi berkata penolakan itu selaras dengan Perkara 123,124 dan 124 perlembagaan parti yang membolehkan perwakilan berbuat demikian.
Malam tadi, Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu turut menolak keputusan Muhyiddin untuk tidak mempertahankan jawatannya.
“Mesyuarat telah sebulat suara membuat ketetapan untuk menolak cadangan YB Tan Sri Muhyiddin untuk tidak mempertahankan jawatan beliau dalam pemilihan parti.
“MPT sebulat suara berpendirian bahawa kepimpinan Tan Sri Muhyiddin diperlukan oleh parti dan negara,” kata Setiausaha Agung Hamzah Zainudin dalam kenyataan dikeluarkan.
Penolakan itu dibuat selepas mesyuarat tergempar MPT dipengerusikan Timbalan Presiden Ahmad Faizal Azumu.
Muhyiddin yang juga pengasas bersama Bersatu mengumumkan tidak akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan parti tahun hadapan pada ucapannya kepada perwakilan, pagi semalam.
“Ini adalah Perhimpunan Agung kali terakhir saya berdiri di pentas ini sebagai presiden parti.
“Justeru, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memohon maaf kepada semua barisan pimpinan dan ahli Bersatu sekiranya saya melakukan sebarang kesalahan atau kesilapan sepanjang memimpin parti. Pesan saya, jagalah parti ini baik-baik,” katanya. – 25 November, 2023.
Komen