Tinjauan dalaman PKR tunjukkan populariti Anwar meningkat, kata Rafizi


Rafizi pada sidang media selepas merasmikan Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan di Putrajaya, hari ini. – Gambar Facebook, 25 November, 2023.

TINJAUAN dalaman PKR menunjukkan populariti Anwar Ibrahim meningkat sejak menjawat sebagai Perdana Menteri, November tahun lalu, kata Rafizi Ramli.

Timbalan Presiden PKR itu berkata tinjauan itu dapati populariti Anwar meningkat pada November tahun lepas dan hanya menurun pada Mei tahun ini apabila ringgit menyusut.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata dapatan itu menunjukkan sedikit peningkatan populariti Anwar pada Julai dan Ogos selepas Putrajaya melancarkan beberapa dasar.

Beliau mengambil contoh, Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) dan Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12.

“Cuma dari September, Oktober dan November peningkatannya agak mendatar. Berdasarkan tinjauan inilah, yang membimbing PKR sehingga kami membentuk kerajaan sekarang dan ia menunjukkan keadaannya adalah status quo,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan Wanita Keadilan di Putrajaya, hari ini.

Menteri Ekonomi itu mengulas soal dapatan tinjauan Merdeka Centre berhubung kadar penilaian kelulusan Anwar sebagai perdana menteri merosot kepada 50% daripada 68% pada Disember 2022.

Tinjauan Merdeka Centre yang diadakan dari 4 hingga 24 Oktober melibatkan 1,220 pengundi semua etnik di seluruh negara menunjukkan 41% daripada mereka tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan Persekutuan manakala 7% melahirkan kemarahan.

Anwar ketika mengulas soal hasil tinjauan itu berkata 1,200 peserta tinjauan itu tidak mewakili keseluruhan 32 juta rakyat negara ini.

Sementara itu, Rafizi berkata PKR percaya kerajaan perpaduan di bawah kepimpinan Anwar stabil.

“Untuk ke depannya, melihat kepada semua elemen, kerajaan perpaduan ini kukuh dan penerimaan rakyat meningkat walau tidak secara berperingkat.

“Tapi pembangkang sedang kucar-kacir sebab saya tak rasa Perikatan Nasional boleh mengekalkan momentum yang ada sebelum ini. Momentum yang ada pada pilihan raya negeri adalah kerajaan akan jatuh.

“Saya ingat rakyat sekarang ini malah penyokong mereka sendiri telah melihat bahawa kerajaan ini tidak akan jatuh dan akan kekal untuk lima tahun.

Beliau turut menyentuh soal ketidakstabilan dalam Bersatu di mana empat ahli Parlimennya menukar sokongan kepada Anwar baru-baru ini akan menjejaskan sokongan PAS kepada pembangkang. – 25 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen