Hamas bebas 24 tebusan rakyat Israel, Thailand dan Filipina


Orang ramai berdiri di tepi jalan sambil bertepuk tangan meraikan pembebasan rakyat Israel. – Gambar Facebook, 25 November, 2023.

25 NOV : Pejuang Hamas membebaskan kumpulan pertama tebusan pada Jumaat sebagai pertukaran tahanan rakyat Palestin.

Ia mencetuskan suasana yang jarang berlaku dalam tempoh tujuh minggu peperangan antara Israel dan Hamas apabila gencatan senjata dilaksanakan.

Melalui klip video AFP, rakyat Israel membunyikan hon dan bertepuk tangan di tepi jalan apabila ambulans mengambil tebusan untuk dihantar ke hospital bagi pemeriksaan kesihatan, lewat petang semalam.

Hamas membebaskan 24 tebusan termasuk 13 wanita dan kanak-kanak rakyat Israel, 10 rakyat Thailand dan seorang rakyat Filipina.

Sementara Israel membebaskan 39 wanita dan kanak-kanak dari penjaranya.

Dalam video berdurasi dua minit yang dikeluarkan Hamas menunjukkan pejuang yang bertopeng menyerahkan tebusan kepada pegawai Palang Merah.

Hamas dijangka akan membebaskan 50 tebusan dalam tempoh empat hari gencatan senjata ini dengan pertukaran 150 tahanan rakyat Palestin sebagai sebahagian perjanjian dengan Israel yang dikendali Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat. – AFP, 25 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen