WHO bimbang nasib pengarah Hospital Al-Shifa ditahan Israel


Pengarah Hospital Al-Shifa Mohammad Abu Salmiya ditahan ditahan Rabu lalu semasa terlibat dalam operasi PBB untuk memindahkan pesakit. – Gambar AFP, 25 November, 2023.

PERTUBUHAN Kesihatan Dunia (WHO) bimbang mengenai nasib pengarah Hospital Al-Shifa Mohammad Abu Salmiya yang ditahan tentera Israel.

Israel dalam satu kenyataan semalam mendakwa hospital di Gaza itu digunakan oleh pejuang Hamas untuk melancarkan serangan.

Mohammad bersama lima petugas perubatan ditahan Rabu lalu semasa terlibat dalam operasi PBB untuk memindahkan pesakit, menurut kenyataan WHO pada Jumaat.

“Tiga kakitangan perubatan dari Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin dan tiga lagi dari Kementerian Kesihatan ditahan,” katanya.

Hanya dua daripada enam yang ditahan itu telah dibebaskan, tambah kenyataan itu.

“Kami tidak tahu bagaimana bagaimana nasib empat orang yang masih ditahan, termasuk pengarah Hospital Al-Shifa.”

Hospital Al Shifa menjadi tumpuan utama operasi tentera Israel terhadap Hamas susulan serangan pada 7 Oktober, manakala Mohammad sering dipetik media antarabangsa mengenai situasi di dalam hospital itu.

Tentera Israel minggu lalu menyerbu hospital berkenaan, mendakwa pejuang Hamas menggunakan kompleks terowong di bawah kemudahan kesihatan itu untuk melancarkan serangan.

Dakwaan itu sudah berulang kali dinafikan Hamas dan pegawai perubatan Hospital Al-Shifa. – AFP, 25 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen