Kerajaan lihat sudut positif hasil kaji selidik Merdeka Center, kata Fahmi


Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata kerajaan mengambil maklum laporan kaji selidik Merdeka Center berhubung pentadbiran setahun Perdana Menteri Anwar Ibrahim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 25 November, 2023.

KERAJAAN mengambil maklum laporan kaji selidik Merdeka Center berhubung pentadbiran setahun Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan melihatnya daripada sudut pandang positif, iaitu untuk menambah baik usaha menyelesaikan masalah termasuk isu ekonomi.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dalam kenyataan semalam berkata kerajaan mengambil maklum laporan berkenaan walaupun ia bersifat ‘snap shot’ atau ‘keratan rentas’ pada ketika itu.

“Seperti yang disebut perdana menteri pada majlis sambutan setahun kerajaan perpaduan di Putrajaya pada 23 November, tahun hadapan kerajaan akan memberi fokus kepada pembangunan ekonomi termasuk pendapatan rakyat.

“Insya-Allah, dengan dasar Ekonomi Madani, Pelan Induk Industri Baru (NIMP) 2030, usaha membanteras rasuah dan menambah baik tadbir urus kerajaan termasuk memudah cara perniagaan dan pelaburan, hala tuju pertumbuhan ekonomi berada pada landasan yang betul,” katanya. 

Fahmi yang juga jurucakap kerajaan perpaduan berkata demikian bagi mengulas laporan media mengenai kaji selidik Merdeka Center berhubung kadar penilaian kelulusan Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri merosot kepada 50% daripada 68% pada Disember 2022.

Anwar dalam responsnya semalam berkata beliau mengambil maklum perkara itu dan menyatakan bahawa maklum balas itu adalah daripada 1,200 orang dan bukannya 32 juta rakyat Malaysia.

Sementara itu, setiausaha politik kanan kepada perdana menteri, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata hasil kajian berkenaan tidak menggambarkan pandangan keseluruhan rakyat Malaysia, sebaliknya hanyalah daripada sekumpulan responden sahaja. 

Beliau berkata rating kelulusan yang diterima Anwar itu lebih meyakinkan berbanding kerajaan sebelum ini, misalnya Dr Mahathir Mohamad iaitu kira-kira 30% dan Muhyiddin Yassin antara 30% hingga 40%. 

“Pada saya selepas setahun, kalau betul itu tinjauan mewakili seluruh rakyat Malaysia, kita ada banyak lagi ikhtiar untuk memastikan majoriti rakyat, 32 juta rakyat ini dapat dijaga dengan baik oleh kerajaan,” katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam tadi. – Bernama, 25 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen