Perlu mekanisme lebih baik, pegawai terlatih kendali sistem baharu, kata aktivis


Alfian Z.M. Tahir

Aktivis memuji usaha kerajaan untuk memulakan sistem dalam talian baharu untuk kanak-kanak melaporkan kes jenayah. – Gambar Pixabay, 25 November, 2023.

AKTIVIS hak kanak-kanak memuji kerajaan kerana memulakan sistem dalam talian baharu untuk kanak-kanak melaporkan kes jenayah terhadap mereka tahun depan.

Mereka bagaimanapun menekankan kepentingan untuk mempunyai mekanisme yang jelas mengenai sistem serta mempunyai pegawai yang terlatih untuk mengendalikan setiap kes.

Syed Azmi Alhabshi memberitahu The Malaysian Insight bahawa lebih banyak pendedahan bagi memastikan kanak-kanak sedar tentang sistem sedia ada.

Memetik pusat panggilan hotline untuk kanak-kanak sebelum ini, Syed Azmi berkata ramai kanak-kanak takut menggunakan talian jagaan dan tidak mengetahui jenis jenayah yang berlaku.

“Saya mengalu-alukan inisiatif itu tetapi ambil perhatian bahawa, ramai yang takut untuk menghubungi talian jagaan sebelum ini. Mereka tidak tahu apa yang perlu diberitahu kepada orang di talian lain. Mereka tidak tahu jenis penderaan yang mereka alami.

“Saya harap sistem dalam talian ini lebih interaktif. Sediakan kotak sembang untuk mereka membuat laporan. Itu lebih baik daripada hanya memfailkan laporan. Pada masa kini kanak-kanak lebih celik teknologi dan dengan kotak sembang lebih mudah untuk mereka berinteraksi,” katanya.

Beliau menyatakan mekanisme yang betul diperlukan untuk kanak-kanak membuat aduan.

“Bukan sahaja careline kerajaan, ada juga careline yang dimulakan oleh NGO. Jadi saya rasa perlu ada mekanisme yang jelas tentang cara membuat laporan.

“Siapa yang akan berada di talian untuk menerima laporan itu? Bagaimana mereka boleh mengesahkan laporan dan sebagainya. Benarkan kanak-kanak menulis dalam bahasa mereka sendiri. Sama ada dalam bahasa Tamil, atau Bahasa Malaysia, Cina atau Inggeris,” tambahnya.

Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said berkata kerajaan akan menyediakan sistem dalam talian untuk kanak-kanak membuat laporan jenayah.

“Sekarang ini, takrif pelaporan sentiasa merujuk kepada laporan polis. Itu boleh menjadi rumit apabila pelaku berada di luar bidang kuasa tertentu,” katanya.

“Dengan Pejabat Suruhanjaya Kanak-Kanak, kami dapat menghasilkan sistem yang lebih baik (untuk membendung) kurang laporan,” katanya kepada pemberita selepas program walkabout di Hari Kanak-Kanak Antarabangsa di Parlimen.

Azalina berkata cabaran lain ialah ketakutan untuk melaporkan jenayah itu di kalangan lelaki dan perempuan.

“Setiap orang mempunyai kewajipan untuk melaporkan dan kami mahu mereka yang berasa takut untuk tampil ke hadapan secara peribadi, (dan) berbuat demikian dalam talian,” tambahnya.

Ini bagi memastikan kanak-kanak tahu mereka boleh menghubungi mereka melalui sistem yang tidak akan mendiskriminasi mereka untuk melaporkan diri, kata Azalina.

“Kami mahu kanak-kanak di luar sana berasa selamat, dan melaporkan tanpa rasa takut atau pilih kasih,” katanya.– 25 November, 2023.

Berita penuh di sini



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen