KEDUTAAN Afghanistan di New Delhi mengumumkan operasi kedutaan itu akan ditutup sepenuhnya berikutan “cabaran berterusan oleh kerajaan India”.
Dutanya, Farid Mamundzay dan diplomat lain yang dilantik oleh rejim Ashraf Ghani yang digulingkan sudah meninggalkan India.
Kedutaan itu yang terletak di kawasan diplomatik Chanakyapuri menggantung semua operasinya kecuali perkhidmatan kecemasan mulai 1 Oktober.
“Malangnya, selepas menunggu selama lapan minggu, matlamat untuk mendapatkan lanjutan visa diplomat masih samar dan tiada perubahan dalam pendekatan yang diambil kerajaan India,” menurut kenyataan yang disiarkan di media sosial.
Menurut kenyataan itu, individu yang berada di India ialah diplomat yang berkaitan dengan kerajaan baharu Afghanistan di bawah pimpinan Taliban.
“Akibat tekanan berterusan daripada kedua-dua pihak iaitu Taliban dan kerajaan India agar menyerahkan kawalan, kedutaan itu menghadapi pilihan yang sukar,” katanya.
India tidak mengiktiraf secara rasmi kerajaan baharu Kabul tetapi terus berinteraksi dengannya di pelbagai peringkat. – Bernama, 24 November, 2023.
Komen