Bendang banjir, 70 pesawah rugi RM728,000 


Petani mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM728,000 selepas padi mereka rosak ditenggelami banjir.– Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2023.

SERAMAI 70 pesawah Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Jaya Peringat mengalami kerugian dianggarkan berjumlah RM728,000 selepas padi mereka rosak ditenggelami banjir, baru-baru ini. 

Pengerusi PPK Jaya Peringat Azmi Ishak berkata ia melibatkan beberapa unit bendang seluas 112 hektar di Kampung Pangkal Pisang, Tegayong, Bechah Mulong, Peringat, Badak Mati, Permatang Pusu, Machang Bubuk, Aril dan Melor Lama.

“Masalah ini berlaku disebabkan air lambat masuk ke bendang menjadikan jadual tuaian berganjak hingga ke musim tengkujuh.

“Mereka sudah menanam padi mengikut jadual dan sepatutnya dapat dituai pada Oktober lalu tetapi mengalami masalah saliran yang menyebabkan air lambat sampai ke bendang tersebut,” katanya kepada Bernama di Kampung Pangkal Pisang, di Kota Bharu hari ini.

Azmi berkata pihaknya kini berusaha menyediakan sistem perparitan yang lebih baik bagi mengelak masalah sama berulang.

Sementara itu, Ketua Unit Peladang Kampung Pangkal Pisang, Zuha Ismail, 50, berkata tanaman padinya seluas 12 hektar ditenggelami banjir Selasa lepas (21 November).

“Pesawah di bendang ini mula menanam padi secara berjadual pada Julai.

“Kami mengalami masalah ketiadaan air pada April, Ogos dan September yang mana padi sepatutnya matang pada Oktober iaitu berusia 100 hingga 120 hari, tetapi pada tarikh itu padi belum masak,” katanya yang sudah tiga kali ditimpa masalah padi tenggelam.

Beliau berkata apabila padi tidak matang, ia tidak boleh dituai dan apabila ditenggelami air, sebanyak 60 hingga 70% buah padi rosak.

Menurut Zuha untuk 0.4 hektar, petani memerlukan kos RM1,200 bagi satu musim dengan nilai jualan RM2,600.

Beliau berkata pihaknya telah membuat laporan kerugian serta permohonan penyediaan sistem perparitan di bawah bidang kuasa Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan berharap kerajaan memberi pampasan atau rugi ganti kepada petani terlibat. – Bernama, 24 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen