Sisters in Islam kecam pemimpin PAS cadang poligami


Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata bancian penduduk Malaysia pada 2010 menunjukkan 5.56 juta rakyat Malaysia berumur 30 tahun ke atas belum berkahwin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2023.

SISTERS in Islam (SIS) mengecam pemimpin PAS Tuan Ibrahim Tuan Man atas cadangannya kepada wanita lewat kahwin supaya berpoligami.

Pegawai Komunikasi SIS Aleza Nadia Othman berkata PAS gagal sebagai pembangkang kerana sibuk dengan perkara tidak penting, berbanding menjalankan peranannya untuk mengimbangi kerajaan.

“Sudah tiba masanya untuk fokus kembali terhadap usaha menangani isu sebenar yang ada kesan terhadap kesejahteraan populasi kita.

“Kerap menekankan poligami adalah satu jalan penyelesaian, menggunakan konteks di mana 8.4 juta wanita masih belum berkahwin, menunjukkan PAS kurang peka dan tidak tahu apa keperluan yang mendesak dalam masyarakat kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Tuan Ibrahim berkata poligami bukan ajaran PAS, tetapi ia adalah sesuatu yang dibenarkan dalam Islam.

“Saya fikir kementerian (pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat) perlu rasional dalam isu ini. Di mana bagi mereka yang mampu, ada kelayakan (dan) boleh adil, satu sokongan moral perlu diberi,” katanya.

Beliau mencadangkan poligami ketika membahaskan RUU Perbekalan untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat 2024 di peringkat jawatankuasa pada Rabu.

Tuan Ibrahim mencadangkan kepada kerajaan supaya memberi sokongan moral kepada golongan “bujang senja” yang mampu untuk berpoligami.

Katanya, amalan itu boleh menjadi jalan keluar kepada jutaan wanita yang belum berkahwin selepas umur 30 tahun.

Timbalan presiden PAS itu berkata masih banyak pihak dalam negara ini melihat poligami sebagai isu sensitif.

“Saya ingin ambil perhatian bila negara kita ini sensitif soal poligami. Bila (kita) sebut poligami macam buat jenayah,” katanya. – 24 November, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen