Badan pemantau rasuah mahu kad laporan prestasi menteri didedahkan


Noel Achariam

Transparency International Malaysia berkata pendedahan kad laporan prestasi jemaah menteri akan membuktikan pembaharuan, akauntabiliti dan ketelusan kerajaan perpaduan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2023.

TRANSPARENCY International Malaysia (TI-M) menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mendedahkan secara terbuka kad laporan pencapaian terperinci setiap menteri dalam tempoh setahun lalu.

Presiden TI-M Muhammad Mohan berkata dengan mendedahkan pencapaian mereka ia akan benar-benar menunjukkan pembaharuan, akauntabiliti dan ketelusan kerajaan.

“Ini bukan sahaja meyakinkan rakyat tentang kestabilan dan keupayaan Kabinet dilantik, malah menjadi asas kepada perdana menteri menilai prestasi pelbagai kementerian dalam menentukan peruntukan serta rombakan Kabinet,” katanya dalam kenyataan.

Muhammad berkata Anwar mengambil alih kerajaan ketika ekonomi negara terumbang-ambing, peningkatan kos sara hidup, ringgit yang lemah berbanding dolar AS, dan ancaman berterusan kejatuhan kerajaan yang akan berlaku oleh pembangkang.

“Sedikit pujian mungkin boleh diberikan kepada kerajaan perpaduan yang mendapat sokongan dari pelbagai parti, pemimpin dan penjawat awam sehingga isu-isu panas politik melibatkan pertelingkahan, pergaduhan malahan drama politik juga tidak kerap dibincangkan, mungkin kerana tidak banyak yang dilaporkan.

“Namun persoalannya kini, adakah kesemua menteri ini benar-benar telus dalam kesediaan mereka berkongsi prestasi mereka. Adakah juga prestasi pencapaian mereka ini prestasi yang positif dalam memberikan sokongan terhadap kepimpinan perdana menteri?

“Adakah perlaksanaan projek, pembaharuan undang-undang dan usaha-usaha kearah menaik taraf kehidupan rakyat telah benar-benar dilaksanakan atau hanya sekadar melepaskan batuk ditangga?”

Beliau berkata langkah itu juga akan memberi impak positif kepada Indeks Persepsi Rasuah Malaysia dalam jangka masa panjang, seperti dibayangkan oleh perdana menteri.

“Menteri tidak perlu bimbang walaupun prestasi mereka kurang daripada sasaran kerana tujuan kad laporan adalah untuk menjelaskan apa yang telah dilakukan dan untuk mewajarkan cabaran dan kerumitan perlaksanaan.

“Rakyat berhak untuk mengetahui setiap tindakan dan usaha-usaha kerajaan membangun negara.”

Muhammad juga berkata adalah penting bagi para menteri menghantar mesej yang jelas kepada orang ramai dan masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia berada di landasan betul ke arah akauntabiliti dan pembaharuan. – 24 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen