Tentera Israel tahan pengarah Hopital Al-Shifa


Pengarah Hospital Al-Shifa Mohammad Abu Salmiya ditahan bersama seorang doktor dan dua jururawat. – Gambar AFP, 24 November, 2023.

TENTERA Israel menahan pengarah dan beberapa kakitangan perubatan Hospital Al-Shifa di Gaza atas dakwaan fasiliti kesihatan itu digunakan oleh Hamas untuk melancarkan serangan.

Pengarah hospital terbabit, Mohammad Abu Salmiya ditahan bersama seorang doktor dan dua jururawat, kata pegawai kesihatan Palestin kepada AFP.

Hospital Al Shifa menjadi tumpuan utama operasi tentera Israel terhadap Hamas susulan serangan pada 7 Oktober, manakala Abu Salmiya sering dipetik media antarabangsa mengenai situasi di dalam hospital itu.

Tentera Israel minggu lalu menyerbu hospital berkenaan, mendakwa pejuang Hamas menggunakan kompleks terowong di bawah kemudahan kesihatan itu untuk melancarkan serangan.

Dakwaan itu sudah berulang kali dinafikan Hamas dan pegawai perubatan Hospital Al-Shifa.

Sementara itu tentera Israel dalam satu kenyataan berkata Abu Salmiya ditahan untuk disoal siasat susulan terdapat bukti bahawa Hospital Al-Shifa dijadikan sebagai pusat arahan dan kawalan Hamas.

“Terdapat bukti ‘aktiviti Hamas’ di hospital itu semasa ia ‘di bawah pengurusan beliau’,” kata kenyataan itu, menambah rangkaian terowong Hamas menggunakan elektrik dan sumber lain dari hospital tersebut.

Tambahnya, sama ada pengarah itu akan disoal siasat lanjut bergantung jika terbukti beliau terlibat dalam aktiviti keganasan.

Manakala Hamas dalam satu kenyataan berkata pihaknya mengecam penahanan Abu Salmiya dan beberapa kakitangan Hospital Al-Shifa, serta menyeru Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah dan badan antarabangsa lain berusaha untuk segera membebaskan mereka. – AFP, 24 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen