PAS tandus isu, kerjasama DAP-Umno tiada masalah, kata Loke


Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata PAS ketandusan isu kerana terus jadikan isu kerjasama dengan Barisan Nasional sebagai modal kempen PRK Kemaman. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 November, 2023.

TINDAKAN pemimpin-pemimpin Perikatan Nasional (PN) yang terus menjadikan isu kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan DAP sebagai modal pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman menunjukkan bahawa mereka ketandusan isu.

Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata hakikatnya pemimpin dan penyokong-penyokong BN dan DAP tiada masalah untuk bersama-sama termasuklah menjayakan kempen bagi memastikan kemenangan calon BN pada PRK itu.

“Saya boleh turun bersama (malam tadi) dengan pemimpin Umno, berkempen bersama. Orang Umno juga tiada masalah bersama kita turun ke kawasan Cina pergi ke kedai kopi berceramah, tak jadi masalah.

“Kalau kita terlalu taksub kepada sentimen lama, ini tak akan membawa ke mana-mana. Jadi ini politik lama yang mereka mainkan. Jangan lupa PAS dulu juga pernah bekerjasama dengan DAP,” katanya ketika ditemui selepas bertemu dengan pengundi Cina di Chukai malam tadi

Loke yang juga menteri pengangkutan berkata isu itu tidak seharusnya dijadikan modal memandangkan pengundi kini sudah bijak menilai apa yang terbaik untuk mereka.

Manifestasinya kata beliau adalah apabila keputusan PRK Pelangai baru-baru ini yang menyaksikan calon BN telah berjaya meraih 98% undi masyarakat Cina di sana.

“Rakyat ingin melihat bahawa apabila kita ada kerjasama politik dan sekarang kita berada dalam kerajaan sama ada kerajaan itu efisien atau tidak, cekap atau tidak mentadbir negara membantu rakyat,” katanya.

Menurutnya lagi, beliau yakin pengundi-pengundi Cina di Kemaman akan memberikan sokongan kepada calon BN iaitu Jen (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor pada hari mengundi nanti.

“Cuma yang paling mencabar adalah peratusan keluar mengundi itu. Kalau mereka (pengundi Cina) keluar, saya yakin mereka akan mengundi calon BN,” katanya.

PRK Kemaman yang ditetapkan 2 Disember ini sebagai hari mengundi menyaksikan Raja Mohamed Affandi berdepan Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar yang mewakili PAS. – Bernama, 24 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen