Kes Covid-19 naik 28% minggu lepas, kata KKM


Alfian Z.M. Tahir

Sebanyak 2,305 kes Covid-19 dilaporkan pada 12 hingga 18 November, meningkat daripada 1,801 kes yang dilaporkan dari 5 hingga 11 November. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 November, 2023.

TERDAPAT kenaikan 28% dalam jumlah kes Covid-19 minggu lepas berbanding minggu sebelumnya, kata Kementerian Kesihatan (KKM).

Dalam satu kenyataan pagi ini, KKM berkata sebanyak 2,305 kes dilaporkan pada 12 hingga 18 November, meningkat daripada 1,801 kes yang dilaporkan dari 5 hingga 11 November.

Kementerian juga berkata 21 kes Omicron dilaporkan dengan 20 kes varian membimbangkan (VOC) dan satu varian mempunyai kepentingan (VOI).

“Kadar kemasukan pesakit Covid-19 (termasuk kes yang disyaki) ke fasiliti kesihatan menurun kepada 2.0 bagi setiap 100,000 penduduk.

Kadar penghunian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah pada 0.4%, manakala peratusan katil tidak kritikal Covid-19 ialah 0.7%.

“Sehingga kini, situasi Covid-19 masih terkawal di Malaysia,” kata kementerian itu.

Pecahan kes Covid-19 termasuk 143 kes di Sarawak, Selangor (136), Kuala Lumpur (119), Melaka (117), Johor (59), Kedah (52), Pulau Pinang (37), Terengganu (24), Sabah (23), Kelantan (21), Negeri Sembilan (16), Perlis (12), dan masing-masing 9 di Perak dan Putrajaya manakala Pahang melaporkan 8 kes. – 23 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen