SEORANG pengasuh taska warga Indonesia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini atas pertuduhan mengabaikan bayi perempuan berusia dua bulan sehingga menyebabkan kematiannya bulan lepas.
Mulyati Kalim, 51, didakwa sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk menjaga bayi itu, Qaseh Aulia Faizul mengabaikan dengan meninggalkannya tanpa pengawasan sehingga membawa kepada kematian.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah taska di Kota Damansara di Petaling Jaya pada 9.40 pagi 10 Oktober lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya P. Vithiya Monisha tidak menawarkan sebarang jaminan memandangkan kes itu serius sehingga membawa kematian seorang bayi.
“Sekiranya mahkamah ingin membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan tertuduh melaporkan diri ke balai polis sebulan sekali dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai kerana tertuduh warga asing,” katanya.
Peguam Badrul Munir Bukhari yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya berkahwin dengan warga tempatan selain menanggung empat anak.
“Anak guam saya tidak mempunyai pendapatan kerana tempat dia bekerja ditutup oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat dan bergantung kepada suami yang bekerja sebagai pengawal keselamatan. Mohon anak guam dibenarkan jaminan rendah,” katanya.
Hakim Syahliza Warnoh membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan dua penjamin tempatan dan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan selain menetapkan 21 Disember ini untuk sebutan semula kes.
Sementara itu, ibu kepada Qaseh Aulia, Maisarah Rosli, 33, ketika ditemui pemberita selepas prosiding mahkamah berharap mendapat keadilan buat anaknya.
“Biarlah mahkamah menentukannya (kes itu),” katanya. – Bernama, 22 November, 2023.
Komen