SEBUAH sekolah antarabangsa di Batu Ferringhi, Pulau Pinang membuat laporan polis kerana menerima ancaman bom menerusi emel.
Ia menjadikan tiga sekolah antarabangsa di negeri ini menerima ancaman ugutan bom.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt V.Saravanan berkata sekolah itu menerima ancaman bom menerusi emel pada 9.42 pagi semalam namun membuat laporan polis pada 9.22 pagi hari ini.
“Sekolah itu terima satu emel daripada individu tidak dikenali ([email protected]) mengatakan bahan letupan ditanam di sekolah,” katanya hari ini.
Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain dilaporkan berkata polis menerima 19 laporan mengenai ancaman bom palsu yang dihantar menerusi emel ke beberapa sekolah swasta dan kerajaan di seluruh negara.
Tujuh laporan dibuat di Selangor, Kuala Lumpur (5), Johor (3), Pulau Pinang (2) dan masing-masing satu di Perak dan Negeri Sembilan.
Ancaman itu dihantar melalui dua akaun emel menggunakan nama “taktstorer” yang bermaksud “pengganggu ketenteraman” dalam bahasa Jerman daripada penyedia perkhidmatan emel beeble.com. – Bernama, 22 November, 2023.
Komen