Ekonomi Singapura tumbuh 1.1% pada suku ketiga 2023


Unjuran pertumbuhan KDNK 2023 bagi Singapura sekitar 1.0% daripada 0.5 hingga 1.5% sejajar dengan prestasi ekonomi Singapura dalam tiga suku pertama tahun ini. – Gambar EPA, 22 November, 2023.

SINGAPURA, 22 Nov (Bernama)—EKONOMI Singapura mencatat pertumbuhan sebanyak 1.1% dalam suku ketiga 2023, meningkat daripada 0.5% peratus dalam suku sebelumnya, kata Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu.

Dalam kenyataannya, MTI berkata bagi asas pelarasan bermusim sukuan, ekonomi Singapura berkembang sebanyak 1.4% yang meningkat daripada 0.1% dalam suku kedua.

Sektor pembuatan menguncup sebanyak 4.6% tahun ke tahun berbanding penguncupan 7.6% dalam suku sebelumnya.

“Semua kluster dalam sektor mencatat penguncupan kecuali bagi kejuruteraan pengangkutan,” katanya.

Bagi pelarasan bermusim suku ke suku, sektor pembuatan berkembang sebanyak 0.5% berbanding penguncupan 1.5% dalam suku sebelum ini.

Menurut MTI, sektor pembinaan tumbuh pada 6.3% tahun ke tahun yang meneruskan lagi pengembangan 7.7% dalam suku kedua susulan peningkatan pembinaan sektor awam dan swasta.

Bagi pelarasan bermusim sukuan, sektor terbabit mencatat pertumbuhan lebih perlahan pada 0.8% berbanding 2.6% dalam suku sebelumnya.

Mengulas prospek bagi 2023, kementerian itu berkata seiring dengan Tinjauan Ekonomi Singapura pada Ogos lepas, ekonomi Amerika Syarikat (AS) telah mencatat prestasi yang mengatasi jangkaan dengan sebahagian besarnya disumbangkan oleh aktiviti perkhidmatan dalam negara yang berdaya tahan.

Bagaimanapun bagi tempoh berbaki tahun ini, pertumbuhan di AS dan zon Eropah diunjur menyederhana berikutan kesan kumulatif daripada dasar monetari yang ketat, katanya.

Malah, menyamai aliran itu, pertumbuhan China juga berkemungkinan perlahan susulan kelemahan prestasi sektor hartanah dan penggunaan domestik yang berlanjutan selain permintaan luaran yang rendah.

MTI juga mengunjurkan permintaan elektronik global kekal kurang memberangsangkan berikutan peningkatan tahap inventori biarpun terdapat tanda-tanda penyusutan itu mungkin berkurangan.

“Sejajar dengan kelemahan permintaan luaran, sektor pembuatan dan perdagangan Singapura seperti kejuruteraan ketepatan dan pengangkutan air juga mungkin kekal lemah bagi tempoh sepanjang 2023.

“Namun, pemulihan perjalanan udara dan pelancongan yang berterusan dijangka menyokong pertumbuhan sektor penerbangan serta pelancongan seperti pengangkutan udara dan penginapan,” katanya.

Pada masa sama, keadaan pasaran tenaga kerja yang berdaya tahan akan terus menyokong sektor berkaitan pengguna seperti perdagangan runcit serta perkhidmatan makanan dan minuman.

“Unjuran pertumbuhan KDNK 2023 bagi republik itu adalah sekitar 1.0% daripada 0.5 hingga 1.5% sejajar dengan prestasi ekonomi Singapura dalam tiga suku pertama tahun ini serta perkembangan luaran dan domestik terkini,” katanya. – Bernama, 22 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen