PKR akan menganjurkan Kongres Nasional 2023 hujung minggu ini, setahun selepas ia membentuk gabungan kerajaan di Putrajaya dan beberapa negeri dengan Barisan Nasional (BN) dan parti lain dari Sabah dan Sarawak, kata setiausaha agungnya Saifuddin Nasution.
Kongres akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 25 dan 26 November.
“Ini adalah kongres tahunan yang pertama yang akan dihadiri oleh sidang perwakilan dari seluruh negara selepas setahun Keadilan (PKR) bersama-sama dalam gabungan kerajaan perpaduan,” katanya dalam satu kenyataan.
Kongres akan bermula dengan kongres nasional sayap pemuda dan wanitanya pada Sabtu, diikuti ucapan dasar presiden parti Anwar Ibrahim dan perasmian kongres pada sebelah malam.
Kongres dengan tema “Memaknai Reformasi, Menjulang Madani” akan mengangkat isu-isu berkaitan kemakmuran ekonomi, kebajikan dan keadilan sosial, tatakelola pentadbiran yang baik dan kestabilan politik.
Saifuddin juga yakin pembahas akan turut menyuarakan isu-isu berkenaan kos sara hidup, perpaduan dan 3R (agama, raja dan kaum), rasuah dan penyelewengan kuasa.
“Pembahas akan diberikan kebebasan untuk berbahas, memberikan nasihat, mengkritik serta melontarkan idea kepada barisan pimpinan yang kemudiannya akan dijadikan panduan dan iltizam pimpinan ke arah yang lebih baik,” tambahnya.
PKR juga akan menegaskan pendirian parti mengenai isu kemanusiaan yang berlaku di Palestin, termasuk mengadakan slot khas pada Sabtu bagi memperingati mangsa kekejaman Israel, kata Saifuddin.
Menurut Saifuddin, kongres tahunan itu dijangka akan dihadiri 2,374 perwakilan dan 1,500 pemerhati dari seluruh negara.
Ia juga akan dihadiri pimpinan utama parti gabungan dalam kerajaan serta wakil 50 kedutaan asing di Malaysia. – 22 November, 2023.
Komen