2024 tahun mencabar untuk perniagaan di Malaysia, kata syarikat Jerman


Ketegangan geopolitik, ringgit merosot dan kekurangan pekerja berkemahiran antara faktor 2024 tahun mencabar buat negara, kata syarikat Jerman di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2023.

KETEGANGAN geopolitik, ringgit yang merosot dan kekurangan pekerja berkemahiran antara faktor yang akan menyebabkan 2024 tahun mencabar buat negara, kata syarikat Jerman di Malaysia.

Perkara ini didedahkan dalam kaji selidik AHK World Business Outlook Fall 2023 yang terkini berkenaan sentimen syarikat Jerman beroperasi di Malaysia.

Konflik Israel-Hamas yang berterusan, perang Russia-Ukraine dan keresahan wilayah di Laut China Selatan berada di senarai tertinggi ketegangan geopolitik di mana responden berkata ia memainkan peranan penting dalam membentuk perkembangan 2024.

Satu lagi kebimbangan adalah berkenaan halangan teknikal kepada perdagangan (TBT) dan sekatan di mana perniagaan melihat ia sebagai kesukaran yang akan menyebabkan rantaian bekalan tidak stabil.

Dalam kaji selidik tahunan itu, 49% syarikat berkata ramalan untuk Malaysia tahun depan akan kekal sama sementara 34% berkata perkembangan ekonomi tempatan akan lebih baik.

Ketika ditanya berkenaan risiko ekonomi untuk syarikat dalam tempoh 12 bulan, 51% responden berkata permintaan adalah kebimbangan utama, diikuti kekurangan pekerja berkemahiran (46%) dan kadar tukaran matawang tinggi akibat kejatuhan ringgit (46%).

Berdasarkan kepada keadaan semasa dunia, ramai responden menjangkakan kadar faedah tinggi akan kekal yang akan membebankan pelaburan dan pelabur baharu.

Kaji selidik itu dijalankan dari 25 September hingga 20 Oktober, 2023. Di Malaysia, kaji selidik itu dilengkapkan oleh rangkaian syarikat MGCC, kebanyakannya Jerman dan perniagaan kecil dan sederhana tempatan. – 22 November, 2023.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen