ISRAEL dan Hamas bersetuju dengan gencatan senjata selama empat hari yang akan menyaksikan kumpulan Palestin membebaskan puluhan tebusan yang diambil pada 7 Oktober, umum kedua-dua pihak pada Rabu.
Kabinet Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu bersetuju perjanjian itu selepas mesyuarat hampir sepanjang malam, dengan beliau memberitahu menteri ia keputusan yang sukar tetapi tepat.
Seorang jurucakap kerajaan memberitahu AFP di bawah perjanjian itu sekurang-kurangnya 50 tebusan Israel dan warga asing akan dibebaskan—wanita dan kanak-kanak—sebagai balasan tempoh bertenang selama empat hari dalam operasi ketenteraan.
Bagi setiap 10 tebusan tambahan yang dibebaskan, akan ada tambahan hari gencatan senjata.
Hamas mengeluarkan kenyataan mengalu-alukan “gencatan senjata kemanusiaan”, yang dikatakan juga akan menyaksikan 150 rakyat Palestin dibebaskan dari penjara Israel.
Gencatan senjata itu memberi harapan kepada penduduk Gaza serangan dihentikan seketika selepas hampir tujuh minggu perang.
Sumber dari Hamas dan Jihad Islam, sebuah lagi kumpulan pejuang, sebelum ini memberitahu ia akan merangkumi gencatan senjata sepenuhnya di darat dan udara oleh pihak Israel di selatan Gaza.
Kelulusan Kabinet Israel adalah salah satu penghalang terakhir kepada perjanjian yang berkuat kuasa.
Qatar membantu untuk menjadi perantara perbincangan.
Menjelang undian, Netanyahu menghadapi pemberontakan dari dalam gabungan sayap kanannya, sesetengah daripada mereka percaya perjanjian itu akan memberi kelebihan terlalu banyak kepada pejuang Palestin.
Menteri Keselamatan Negara Itamar Ben-Gvir menyatakan beliau akan mengundi menentang perjanjian itu, dengan mengatakan ia perlulah termasuk pembebasan askar Israel.
Menurut pihak berkuasa Palestin, serangan Israel membunuh 14,100 orang, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak.
Dalam satu kenyataan, pejabat Netanyahu menegaskan gencatan senjata itu tidak menandakan berakhirnya perang. – AFP, 22 November, 2023.
Komen