Satelit pengintip Korea Utara berjaya dilancar


Pemimpin Korea Utara Kim Jong-un hadir menyaksikan pelancaran satelit pengintip, dan mengucapkan tahniah kepada saintis dan juruteknik di sebalik misi itu. – Gambar 22 November, 2023.

KOREA Utara mengumumkan berjaya melancarkan satelit pengintip tentera di orbit selepas dua kali gagal sebelum ini.

Kejayaan itu dikecam Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya yang menganggap ia sebagai pelanggaran sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Agensi berita kerajaan KCNA melaporkan sebuah roket yang membawa satelit dilancarkan pada malam Selasa dari wilayah Phyongan Utara, terbang di sepanjang laluan yang ditetapkan dan meletakkan satelit peninjau Malligyong-1 dengan tepat di orbitnya.

Pemimpin Korea Utara Kim Jong-un hadir menyaksikan pelancaran itu, dan mengucapkan tahniah kepada saintis dan juruteknik di sebalik misi itu.

AS mendahului kecaman terhadap pelancaran itu dan menyifatkannya sebagai pelanggaran yang biadab terhadap sekatan PBB dan berkata ia boleh menjejaskan kestabilan rantau itu.

Korea Selatan bertindak balas dengan berkata ia akan menyambung semula operasi pengawasan di sepanjang sempadan dengan Korea Utara.

Ia sebelum ini digantung pada 2018 sebagai sebahagian daripada perjanjian Seoul-Pyongyang untuk mengurangkan ketegangan ketenteraan, lapor agensi berita Yonhap.

Usaha Korea Utara sebelum ini untuk meletakkan satelit pengintip ke orbit pada Mei dan Ogos gagal.

Seoul, Tokyo dan Washington berulang kali memberi amaran kepada Pyongyang supaya tidak meneruskan pelancaran lain, yang akan melanggar resolusi PBB.

Menurut pakar, roket pelancar angkasa dan peluru berpandu balistik mempunyai pertindihan teknologi yang ketara, tetapi muatan berbeza, dan Pyongyang dihalang oleh resolusi PBB daripada sebarang ujian membabitkan teknologi balistik.

Agensi perisik Seoul bulan ini berkata Pyongyang nampaknya menerima nasihat teknikal daripada Russia, sebagai balasan bagi menghantar sekurang-kurangnya 10 pakej bekalan senjata untuk perang Moscow di Ukraine.

KCNA berkata pelancaran satelit peninjau adalah hak sah Korea Utara untuk mengukuhkan keupayaan pertahanan diri ketika negara itu menghadapi apa yang dipanggil ancaman dari Korea Selatan dan AS. – AFP, 22 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen