Kerajaan perlu pastikan pelan ekonomi jadi realiti, kata pakar


Alfian Z.M. Tahir Desmond Davidson

Pakar berkata ekonomi Malaysia berdaya saing walaupun dunia menghadapi krisis ekonomi global. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 November, 2023.

KERAJAAN perpaduan berada di landasan yang betul dengan rancangan pemulihan ekonominya setahun selepas berkuasa, kata pakar ekonomi.

Bagaimanapun, mereka memberi amaran tahun depan adalah penting bagi Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Kabinetnya untuk melaksanakan rancangan itu supaya hasil dicapai.

Kerajaan perpaduan ditubuhkan pada November tahun lepas selepas Anwar mendapat sokongan ahli Parlimen daripada Barisan Nasional (BN) serta parti Sabah dan Sarawak.

Anwar kini menikmati majoriti dua pertiga yang kuat di Parlimen dengan 151 ahli Parlimen menyokongnya, termasuk empat daripada Bersatu.

Ahli akademik Unirazak Prof Dr Barjoyai Bardai berkata ekonomi Malaysia berdaya saing walaupun dunia menghadapi krisis ekonomi global.

Beliau menambah yang prestasi ekonomi negara semakin berkembang, dan dijangka menunjukkan peningkatan tahun depan.

“Secara keseluruhannya, ekonomi kita berdaya saing walaupun menghadapi masalah dari dalam dan luar negara. Peperangan di Ukraine, inflasi global adalah contoh masalah luar manakala di dalam negara kita berdepan dengan kos sara hidup yang tinggi dan sebahagian besar pendapatan tepu.

“Bagaimanapun, prestasi kita menunjukkan petanda baik. KDNK kita dijangka berkembang 4 hingga 5% tahun depan.

“Kerajaan juga sudah membuat beberapa rancangan dalam belanjawan terbaru mereka. Kita belum melihat hasilnya kerana ia adalah projek jangka panjang. Terdapat proses yang perlu dilakukan oleh kementerian,” katanya.

Mengenai kadar guna tenaga, Barjoyai berkata kadar pengangguran menurun tetapi pertumbuhan guna tenaga tidak meningkat.

Beliau juga memuji Anwar dan Menteri Perdagangan Antarabangsa Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz kerana membawa masuk banyak pelabur berpotensi kembali ke negara ini.

“Pelaburan bernilai RM270 bilion dikatakan akan masuk. Ini susulan lawatan kerja perdana menteri dan menterinya. Wang masih belum masuk kerana melibatkan proses,” katanya. – 22 November, 2023.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen