Vape diharamkan di kemudahan KBS, kata Hannah Yeoh


Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata vape adalah antara senarai barangan terlarang seperti rokok, pemetik api, power bank dan payung.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2023.

PUTRAJAYA mengharamkan peranti vape di kemudahan Kementerian Belia dan Sukan di seluruh negara, kata Hannah Yeoh.

Menteri Belia dan Sukan itu memberitahu Parlimen bahawa Kabinet telah membuat keputusan itu dan semua kemudahan kementerian kini adalah kawasan larangan merokok dan vape.

“Keputusan itu antara lain mengambil kira Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dan Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2008 yang dipinda yang mewartakan kemudahan sukan seperti stadium dan kompleks sukan sebagai zon larangan merokok.

“Vape adalah dilarang di semua stadium. Vape adalah antara senarai barangan terlarang seperti rokok, pemetik api, power bank dan payung kerana ia diklasifikasikan sebagai senjata yang boleh membahayakan orang.

“Pasukan keselamatan akan melakukan pemeriksaan fizikal kepada penonton dan mereka yang didapati menggunakan vape di venue akan berdepan tindakan,” katanya menjawab perkara yang dibangkitkan semasa perbahasan Bajet 2024 di peringkat jawatankuasa hari ini.

Yeoh berkata kementerian akan memaklumkan kepada orang ramai mengenai larangan itu melalui kain rentang dan paparan di papan skor di stadium. – 21 November, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen