PAS tegaskan konsert Coldplay mesti batal


Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari berkata konsert kumpulan rock popular dari Britain, Coldplay peru dibatalkan kerana ia akan membawa masuk budaya hedonisme dalam masyarakat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2023.

SAMA ada Coldplay menyokong Palestin atau tidak, konsert kumpulan rock popular dari Britain itu esok perlu dibatalkan kerana ia akan membawa masuk budaya hedonisme dalam masyarakat, tegas Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari.

“Sebagaimana yang disebut Perdana Menteri (Anwar Ibrahim) tadi dalam isu Coldplay, perdana menteri menyebut kumpulan itu memberikan sokongan kepada Palestin.

“Bukan isu memberikan sokongan atau tidak kepada Palestin semata-mata, tetapi isu budaya hedonisme yang nak dibawa dalam masyarakat.

“Dalam suasana hiruk pikuk isu Palestin pada hari ini, membawa satu kumpulan antarabangsa dalam negara kita, ia tidak sesuai,” kata ahli Parlimen Pasir Mas pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2024 di peringkat jawatankuasa Kementerian Sukan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Anwar pada sidang pagi tadi berkata beliau akan berbincang dengan mufti Wilayah Persekutuan berhubung keperluan untuk meneruskan penganjuran konsert kumpulan Coldplay yang dijadual berlangsung esok di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ini kerana ada pelobi daripada gerakan penyokong pejuang Palestin yang menyokong penganjuran konsert berkenaan dan pada masa sama terdapat pihak lain menyarankan konsert itu dibatalkan, kata perdana menteri.

“Coldplay ini antara kumpulan yang sokong Palestin, jadi ada masalah sikit saya nak beritahu, dalam kerajaan lepas luluskan (konsert) juga. Saya akan bincang dengan mufti (berhubung) keadaan ini.

“Kerana ada pelobi daripada gerakan Palestin yang menyokong dan berikan pandangan kepada menteri luar dan pejabat saya menyatakan kenapa dihalang kumpulan yang sokong perjuangan Palestin daripada meneruskan pertunjukan,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri.

Sabtu lalu, Mufti Wilayah Persekutuan Luqman Abdullah dalam satu kenyataan menyifatkan konsert Coldplay sebagai melalaikan dan tidak memberi manfaat kepada masyarakat di negara ini.

Justeru, beliau menasihatkan penganjur konsert berkenaan supaya tidak meneruskan penganjuran program itu. 

Luqman juga menasihatkan orang ramai tidak memberi sokongan kepada penganjuran konsert yang jelas bertentangan dengan nilai murni dan budaya di negara ini.

Konsert Coldplay esok merupakan sebahagian daripada siri jelajah Music of the Spheres World Tour. – 21 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen