ITALI melangkah ke pusingan akhir Euro 2024 selepas seri 0-0 dengan Ukraine dalam pusingan kelayakan terakhir di Leverkusen semalam, lapor Xinhua.
Keputusan seri menyaksikan kedua-dua pasukan menamatkan saingan Kumpulan C dengan 14 mata di belakang England.
Tetapi Itali selaku penyandang juara edisi lepas layak berdasarkan rekod pertemuan dengan Ukraine sebelum ini.
Ukraine di tempat ketiga kumpulan bagaimanapun masih berpeluang ke pusingan akhir EURO 2024 tetapi perlu mengharungi pusingan play-off.
Pada perlawanan itu pengendali Itali, Luciano Spalletti, melakukan beberapa perubahan dalam kesebelasan utama pasukan.
Itali menggandingkan rangkaian tiga penyerang Nicolo Zaniolo bersama Davide Frattesi dan Giacomo Raspadori untuk menembusi kubu lawan.
Ukraine pula diperkuatkan dengan bintang Chelsea Mykhailo Mudryk.
Azzuri jelas menguasai perlawanan dengan melakukan beberapa percubaan menarik, termasuk sepakan deras Nicolo Barella berjaya ditepis keluar manakala tandukan Giovanni Di Lorenzo tersasar.
Itali sepatutnya membuka tirai jaringan pada minit ke-29 melalui Frattesi namun percubaan pemain itu dinafikan Anatoliy Trubin yang cemerlang di gawang.
Itali terus mendominasi perlawanan selepas rehat namun Ukraine hampir membuka tirai jaringan melalui percubaan Mudryk yang diselamatkan Gianluigi Donnarumma pada minit ke-65.
Bagaimanapun, Itali berdepan detik mencemaskan apabila Mudyrk dijatuhkan di dalam kawasan penalti pada masa kecederaan.
Pengadil memutuskan untuk meneruskan permainan yang berkesudahan tanpa jaringan. – Bernama, 21 November, 2023.
Komen