BADAN pemantau pilihan raya, Bersih akan mengadakan pilihan raya kecil pada masa terdekat untuk mengisi kekosongan jawatan pengerusi apabila Thomas Fann meletak jawatan secara tiba-tiba.
Dalam satu kenyataan hari ini, Bersih berkata jawatankuasa pilihan raya ad hoc akan ditubuhkan bagi menjalankan pilihan raya dengan notis penamaan, tempoh kempen dan mengundi akan diumumkan.
“Bersih mengadakan mesyuarat pertama dengan jawatankuasa pemandu baharu malam tadi untuk membincangkan hala tuju selepas pilihan raya bagi penggal 2023-2025, dan berkenaan peletakan jawatan pengerusi yang tanpa disangka pada dua hari lalu.
“Dipersetujui untuk pilihan raya kecil diadakan secara mungkin kerana cara itu paling praktikal untuk mengisi jawatan pengerusi. Fann beri jaminan yang beliau akan terus ada untuk memastikan peralihan tanggungjawab kepada pengerusi baharu berjalan lancar,” katanya.
Pada Ahad lalu, Fann mengumumkan peletakan jawatannya. Beliau kekal sebagai pengerusi selepas jawatan itu tidak dipertandingkan pada pilihan raya Bersih baru-baru ini.
Katanya, selepas berfikir panjang, beliau mendapati usahanya untuk mengembangkan Bersih menjadi “institusi rakyat” ditolak oleh majoriti kumpulan persatuan sivil dalam Bersih.
Dalam surat kepada jawatankuasa pemandu dan NGO, beliau berkata lima jawatan dipertandingkan iaitu timbalan pengerusi, bendahari dan tiga ahli jawatankuasa dimenangi empat calon daripada kumpulan pesaing yang tidak sehaluan dengan pasukannya.
Dalam nota kepada media, Fann berkata beliau akan meneruskan jawatannya untuk dua bulan hingga penggantinya dipilih, bagi memastikan kelancaran peralihan kepimpinan.
Sementara itu, Pengarah Eksekutif Bersih Ooi Kok Hin berkata beliau akan memastikan sekretarian meneruskan peranan menyokong jawatankuasa kepimpinan baharu dan Bersih kekal relevan dalam memantau pilihan raya. – 21 November, 2023.
Komen