Kerajaan perpaduan Anwar masih sedang dibina, kata pemerhati


Noel Achariam Ravin Palanisamy

Pemerhati memuji Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana mengekalkan kerajaan perpaduan, bekerjasama dengan semua pihak walaupun berbeza sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 November, 2023.

MENJELANG setahun pentadbiran kerajaan perpaduan minggu ini, ia merupakan tahun yang mencabar bagi Perdana Menteri Anwar Ibrahim, kata pemerhati.

Mereka berkata kerajaan perpaduan terus berdepan pelbagai isu termasuk kenaikan kos sara hidup, kenaikan harga barang dan inflasi. Ini adalah isu yang mempengaruhi setiap rakyat Malaysia dalam kehidupan seharian mereka.

Bagaimanapun pakar-pakar ini percaya kerajaan melakukan yang terbaik untuk membantu rakyat termasuk memperkenalkan beberapa dasar untuk meringankan beban rakyat.

Antaranya Menu Rahmah menawarkan makanan mampu milik untuk semua rakyat dan memperkenalkan subsidi bersasar untuk beras, tepung, minyak masak, telur, elektrik, petrol, diesel dan gas memasak (LPG).

Lain-lain termasuk program Payung Rahmah untuk membantu mengurangkan kos sara hidup masyarakat B40 dan golongan miskin tegar. Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) juga ditubuhkan untuk mengenal pasti isu dan cabaran berkaitan kos sara hidup.

Pemerhati juga memuji Anwar kerana mengekalkan kerajaan perpaduan, bekerjasama dengan semua pihak walaupun berbeza sebelum ini.

Di bawah adalah ulasan daripada pemerhati politik, peninjau dan ahli politik terhadap kerajaan dalam tahun pertama berkuasa.

1. Apakah yang berkesan untuk kerajaan dan apakah perubahan ketara yang dilakukan oleh kerajaan untuk rakyat Malaysia?

Penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa (UIAM) Tunku Mohar Tunku Mohd Mokhtar berkata kejayaan Anwar dalam mengekalkan kerajaan perpaduan adalah luar biasa.

Bagaimanapun beliau juga berkata PM dikekang oleh sekutu dalam melakukan apa yang beliau mahu termasuk reformasi yang dijanjikan Pakatan Harapan sebelum pilihan raya.

Masih belum ada perubahan ketara, tetapi langkah kecil seperti inisiatif Rahmah, peningkatan bantuan kepada golongan miskin dan pengurangan subsidi untuk golongan kaya wajar disebut, katanya.

Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Mazlan Ali berkata kerajaan perpaduan memberi harapan kepada rakyat ke arah pemulihan ekonomi dan kestabilan politik negara.

“Prestasi Anwar dilihat luar biasa, jauh mendahului pendahulunya dan dilihat sebagai seorang yang sangat rajin.

“Antara pencapaian itu ialah membawa Malaysia ke arah ekonomi yang jelas, menarik komitmen pelaburan asing, mempromosikan Malaysia di peringkat antarabangsa dan menyediakan bajet tahunan yang semakin mampan (kurang defisit tetapi boleh meningkatkan subsidi untuk rakyat).”

Ketua Pemuda Umno Dr Muhamad Akmal Saleh dalam pada itu berkata kemajuan tahun pertama kerajaan perpaduan adalah dalam menghimpunkan semua kaum dan kerjasama dengan parti lain dalam kerajaan.

“Sebagai seorang pemimpin, Anwar melakukan dengan sangat baik. Beliau melibatkan diri dengan semua orang dalam gabungan dan semua orang selesa dengannya.

“Ini adalah petunjuk yang baik untuk dia terus bekerja untuk empat tahun akan datang,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kerjasama parti dalam kerajaan perpaduan sudah berkembang.

“Sebelum ini kita boleh lihat sentimen negatif antara DAP dan Umno, tetapi kini kita semakin rapat dan lebih mengenali antara satu sama lain,” katanya.

Sementara itu bekas ahli Parlimen Klang Charles Santiago berkata pentadbiran Anwar menunjukkan ia mempunyai kestabilan Parlimen yang kukuh berbanding kerajaan terdahulu.

Beliau berkata ini akan mengurangkan kebimbangan bahawa kemungkinan berlaku lagi keruntuhan dalam kerajaan.

“Terdapat peralihan pada 2020 di mana Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri (susulan Langkah Sheraton).

“Kemudian berlaku satu lagi rampasan kuasa pada 2021, di mana Ismail Sabri Yaakob menggantikan Muhyiddin.

“Sekarang keadaannya ialah perdana menteri stabil dan semakin kuat,” katanya sambil menambah sokongan empat ahli Parlimen Bersatu baru-baru ini menjadikan kedudukan Anwar cukup kukuh.

Dengan sokongan empat ahli Parlimen Bersatu, Anwar kini mendapat sokongan 151 ahli Parlimen.

Pengarah eksekutif Ilham Center Hisomuddin Bakar memuji kualiti kepimpinan Anwar dalam menguruskan kerajaannya.

“Sebagai contoh dalam aspek kerjanya, beliau menunjukkan sepanjang tempoh menjadi perdana menteri dengan hampir 20 lawatan kerja ke luar negara, sama ada melibatkan isu Palestin, lawatan diplomatik dan sedikit sebanyak cuba meyakinkan pelabur.

“Dalam konteks optik di persada antarabangsa, beliau meletakkan Malaysia sebagai aktor penting dalam kalangan negara Islam dalam aspek membela rakyat Palestin,” katanya.

2. Apa yang masih kurang? Apa yang kerajaan gagal sediakan?

Tunku Mohar berkata pengkritik tidak berpuas hati dengan reformasi institusi yang perlahan.

“Kerajaan juga tidak dapat menjawab kritikan dan serangan berterusan daripada pembangkang yang menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap kerajaan,” katanya.

Mazlan bersetuju isu berkaitan janji reformasi masih kurang.

“Ada harapan ke arah itu (pembaharuan), tetapi masih samar-samar dan kerajaan perpaduan dilihat masih banyak kekangan untuk melaksanakan reformasi sepenuhnya seperti yang dijanjikan sebelum ini.

“Tetapi terdapat kemajuan seperti program yang memberi tumpuan kepada pentadbiran yang telus dan yang memberi manfaat kepada rakyat.”

Akmal berkata menangani situasi ekonomi rakyat adalah penting.

“Saya rasa cabaran lebih besar yang bakal dihadapi kerajaan ini ialah bagaimana untuk membuktikan mereka boleh menangani keadaan ekonomi sekarang. Isu seperti kos sara hidup, pekerjaan dan lain-lain.

“Ini bagi memastikan kebajikan rakyat terjaga dan menunjukkan kepada mereka bahawa kerajaan sekarang ini sedang berusaha keras untuk meningkatkan sektor ekonomi,” katanya.

3. Apakah isu yang terpaksa dihadapi oleh kerajaan perpaduan sepanjang tahun ini?

Tunku Mohar berkata isu utama termasuk kenaikan kos sara hidup, ringgit yang semakin lemah dan pembangkang yang bermusuhan.

Mazlan bersetuju dan menambah isu utama yang dihadapi kerajaan perpaduan sepanjang tahun ini ialah cabaran daripada pembangkang.

“Walaupun PH-BN masih mengekalkan tiga negeri iaitu Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan, pengaruh PN semakin meningkat terutama dalam kalangan orang Melayu.

“Selain itu cabaran utama juga adalah dari segi kejatuhan ringgit yang menyebabkan harga barang meningkat dan kerajaan perpaduan terpaksa bekerja keras untuk mengatasinya.”

Bagi Akmal katanya adalah penting untuk meningkatkan ekonomi.

“Jika tidak ia akan menjadi tahun yang sukar di hadapan,” katanya.

Hisomuddin juga merasakan kerajaan perlu menambah baik aspek ekonomi khususnya ekonomi dalam negeri.

Beliau berkata isu mengenai kenaikan kos sara hidup dan inflasi menjadi aduan yang tidak berkesudahan kepada kerajaan.

“Isu kekurangan bekalan beras putih tempatan, penarikan subsidi ayam dan bekalan benih padi semuanya menjadi bahan komen dan kritikan di media sosial.

“Ia memberi sedikit impak kepada prestasi dan kecekapan beberapa kementerian berkaitan perkara itu,” katanya.

4. Apa yang menguntungkan rakyat?

Tunku Mohar berkata kerajaan serius dalam menangani masalah golongan miskin melalui bukan sahaja pemberian, tetapi juga inisiatif untuk membantu mereka keluar daripada belenggu kemiskinan.

Mazlan dalam pada itu berkata antara dasar yang diluluskan dan memberi manfaat kepada rakyat termasuk insentif seperti peningkatan bantuan tunai, belanjawan yang pro-rakyat, menurunkan harga perkhidmatan internet dan mengekalkan subsidi.

Menurut Hisomuddin Belanjawan pro-rakyat 2024 yang melibatkan peruntukan terbesar dalam sejarah Malaysia adalah langkah berani memperuntukkan subsidi yang besar untuk kesejahteraan rakyat dan pada masa yang sama merangsang kitaran kewangan dalam ekonomi domestik.

Beliau mengakui memerlukan masa untuk rakyat merasai bantuan yang diberikan.

“Mungkin impaknya belum dirasai langsung dalam masa terdekat dan ia akan mengambil sedikit masa untuk menunjukkan kejayaannya.

“Walaupun berbekalkan bajet yang menutup kritikan dan suara tidak puas hati, agensi penerangan dan propaganda kerajaan nampaknya kurang berkesan dalam memainkan peranan menjelaskan dasar kepada rakyat,” katanya. – 21 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen