Sabah, Sarawak dibenar guna bahasa Inggeris dalam urusan rasmi


Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick berkata keputusan Kabinet itu selaras dengan perlembagaan Sabah dan Sarawak yang membenarkan penggunaan bahasa Inggeris untuk urusan rasmi di negeri masing-masing. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2023.

KABINET persekutuan bersetuju penggunaan bahasa Inggeris dibenarkan bagi urusan rasmi di Sabah dan Sarawak, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Ewon Benedick.

Beliau berkata keputusan itu selaras dengan perlembagaan kedua-dua negeri yang membenarkan penggunaan bahasa Inggeris untuk urusan rasmi di negeri masing-masing.

“Ini (penggunaaan bahasa Inggeris) termasuk dalam prosiding di mahkamah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah serta Sarawak,” kata ahli Parlimen Penampang itu dalam kenyataan selepas merasmikan program Be English Speakers Today (BEST) di Penampang hari ini.

Mengenai program dianjurkan bersama Yayasan Bank Rakyat dan Yayasan Pendidikan INDEP itu, Ewon berkata program seumpamanya dapat membudayakan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan generasi muda selain bahasa kebangsaan dan bahasa ibunda masing-masing.

“Pelajar digalakkan menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa iaitu bahasa ibunda, bahasa kebangsaan dan bahasa utama antarabangsa. Bahasa kebangsaan wajib dikuasai warganegara Malaysia selain bahasa antarabangsa, termasuk bahasa Inggeris, Mandarin, Arab atau bahasa utama lain di dunia,” katanya.

Program BEST itu memanfaatkan lebih 390 pelajar dari enam daerah terpilih di negeri ini, yang akan mengikuti pembelajaran mengikut modul disediakan untuk memperkasakan penguasaan bahasa Inggeris mereka. – Bernama, 20 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen