Pengarah syarikat rugi lebih RM2.3 juta, terpedaya pelaburan saham tidak wujud


SEORANG pengarah syarikat mengalami kerugian lebih RM2.3 juta selepas terpedaya dengan penawaran pelaburan saham tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata pihaknya menerima laporan mengenai jenayah itu daripada wanita tempatan berusia 39 tahun pada 12.31 tengah hari, Jumaat lalu.

Mohd Iqbal berkata berdasarkan hasil rakaman percakapan, mangsa mengetahui mengenai pelaburan saham tersebut menerusi media sosial Facebook dan mangsa menekan pautan (link) pelaburan yang diberikan dan memberikan nombor telefonnya. 

“Mangsa kemudian ditambah masuk ke dalam satu kumpulan Whatsapps yang memberikan maklumat berkenaan cara-cara untuk membuat pelaburan saham.

“Wanita itu seterusnya diarahkan untuk mendeposit wang bagi memasuki pelaburan saham yang ditawarkan lalu membuat pindahan wang berjumlah RM2,378,000 secara dalam talian sebanyak enam kali ke dalam enam akaun bank berlainan seperti yang diarahkan,” menurut kenyataan itu.

Iqbal berkata mangsa seterusnya dimaklumkan mendapat keuntungan sebanyak RM256,000 namun ketika wanita itu hendak membuat pengeluaran wang keuntungan, dia dikehendaki membuat bayaran sebanyak RM523,000.

“Mangsa yang berasa tertipu hadir membuat laporan polis dan siasatan dilaksanakan mengikut Seksyen 420 kanun Keseksaan iaitu kesalahan menipu,” katanya.

Susulan itu Mohd Iqbal menasihatkan orang awam agar tidak mudah mempercayai pelaburan yang ditawarkan di sosial media dan membuat semakan terlebih dahulu dengan menghubungi agensi yang terlibat seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti.

“Orang awam juga boleh menghubungi talian ‘997’ National Scam Response Centre (NSRC) bagi membuat semakan dan mendapatkan nasihat terlebih dahulu,” katanya. – Bernama, 20 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen