7 warga Jepun ditahan disyaki terbabit sindiket 'phone scam'


Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman berkata sindiket ini menjalankan kegiatan 'phone scam' menggunakan aplikasi Skype dengan menyasarkan warga Jepun. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2023.

POLIS menahan tujuh lelaki warga Jepun kerana disyaki terbabit dengan sindiket penipuan panggilan telefon atau phone scam dalam serbuan terhadap sebuah kediaman di ibu negara, Isnin lepas (13 November).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman Ramli Mohamed Yoosuf berkata tangkapan kesemua suspek berusia 23 hingga 41 tahun itu dibuat selepas menerima laporan daripada pihak Kedutaan Jepun di Malaysia pada hari sama.

“Pihak Kedutaan Jepun memaklumkan mereka menerima aduan (daripada) seorang warganya yang ditipu dengan tawaran pekerjaan di Malaysia dan hanya mengetahui menjadi mangsa penipuan selepas tiba di negara ini dengan tawaran berkerja sebagai scammer.

“Sindiket ini menjalankan kegiatan phone scam menggunakan aplikasi Skype dengan menyasarkan warga Jepun,” katanya pada sidang media khas di Kuala Lumpur hari ini.

Ramli berkata siasatan lanjut juga mendapati modus operandi sindiket itu adalah dengan menyamar sebagai pegawai bank bagi memperdayakan mangsa bahawa akaun bank mereka mempunyai masalah dan perlu membuat bayaran ke akaun bank sindiket bagi menyelesaikannya. – Bernama, 20 November, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen